in

SANGGUP KELAR LEHER ANAK KERANA TUKAR SIARAN TV

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/11/01-2.jpeg

SANGGUP KELAR LEHER ANAK KERANA TUKAR SIARAN TV


HULU SELANGOR: Pertengkaran akibat mengubah siaran televisyen bertukar tragedi apabila seorang bapa mengelar anak kandungnya dalam kejadian di rumah mereka di Bernam Jaya, Hulu Bernam, dekat sini, semalam.


Kejadian tercetus selepas pertengkaran antara suspek yang juga warga emas berusia 71 tahun dan mangsa berusia 37 tahun.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.55 tengah hari daripada suspek berhubung penemuan anaknya yang terbaring berlumuran darah di ruang tamu, dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Beliau berkata, suspek sebelum itu pergi ke sebuah kedai di Taman Bernam Jaya, pada 12 tengah hari, turut memaklumkan leher anaknya luka selain darah keluar dari kepala.


“Suspek memaklumkan kepada jiran supaya menghubungi pihak polis.


“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati leher mangsa terdapat kesan kelar yang dalam. Ia bukan bunuh diri dan dilakukan oleh pihak ketiga.


“Suspek menyatakan pada waktu pagi hari sama, dia dan anaknya bertengkar berpunca mangsa mengubah siaran televisyen.


“Suspek kemudian menolak mangsa sehingga terkena dinding dan jatuh ke lantai. Dia kemudian mengambil pisau di dapur dan mangsa bergelut dengannya sehingga mangsa ditoreh di leher sebanyak tiga kali,” katanya menerusi kenyataan, semalam.


Arsad berkata, polis merampas pisau yang digunakan lelaki itu untuk kelar mangsa susulan serbuan pihaknya di rumah suspek.


Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.


“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seksyen Kuala Kubu Bharu hari ini untuk permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ,” katanya. – BH

(Visited 29 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0