in

BN UMUM CALON SABTU INI

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/11/01-3.jpeg

BN UMUM CALON SABTU INI

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan 28 calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada jam 10 pagi, Sabtu ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pengumuman itu dibuat menerusi atas talian atau Facebook (FB) UMNO Online tanpa penganjuran sebarang majlis.

“Pengumuman nama calon BN live di FB UMNO Online pada 6 November ini jam 10 pagi. Terima kasih memberi sokongan dan mengikuti,” katanya di Facebook beliau hari ini.

BN dijangka menampilkan beberapa calon muka baharu daripada UMNO, MCA dan MIC yang akan bertanding dalam PRN Melaka, di samping mempertahankan beberapa muka lama.

Antara calon muka baharu yang disebut-sebut akan bertanding Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Saleh dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh juga dijangka bertanding satu daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah, manakala Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dijangka mempertahankan kerusi DUN Lendu disandangnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman.

Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dan seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi terdiri lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus wanita. – BH

(Visited 33 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0