in

SUAMI ISTERI DIDAKWA DERA 2 BERADIK HINGGA PARAH

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/10/01-1.jpeg

SUAMI ISTERI DIDAKWA DERA 2 BERADIK HINGGA PARAH

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan mendera dua kanak-kanak antara Jun hingga September lalu.
Walau bagaimanapun, tertuduh, R. Kartik, 32, dan isterinya, B. Darga Devi, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Bagi pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa melakukan penderaan terhadap kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun dengan cara memukul menggunakan rotan, penyangkut baju dan batang mop serta meletakkan pisau panas di tangan dan mencucuh rokok di seluruh badan selain menghantuk kepala mangsa ke dinding.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dengan cara memukul menggunakan rotan dan batang mop, serta meletakkan pisau panas di tangan dan mencucuh rokok di seluruh badan dan kemaluan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan suami isteri berkenaan secara bersama-sama dengan dua lagi yang sudah dituduh minggu lalu di mahkamah sama mengakibatkan dua kanak-kanak yang juga dua beradik terbabit trauma dan mengalami kecederaan pada tubuh badan mereka.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Flat Selesa Jaya, Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri, dekat sini antara jam 8 malam hingga 1 pagi, Jun hingga September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chab Choon Yew, manakala kedua tertuduh diwakili peguam bela, Munirah Najihah Shaari.

Semasa prosiding, Choon Yew tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan yang dilakukan itu bersifat ganas dan kejam.

Munirah Najihah memohon jaminan dalam jumlah rendah kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengambil upah memasak selain menanggung tiga anak berusia sembilan bulan hingga tiga tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan suami dan isteri itu masing-masing diikat jamin sebanyak RM30,000 dan RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan empat orang penjamin.

Selain itu, pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu dan dilarang mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi-saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 24 November depan. – JT

(Visited 14 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0