in

PBT DIMINTA PERMUDAH RAKYAT MOHON LESEN PERNIAGAAN – @HASNI_JOHOR

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/10/01-1.jpg

PBT DIMINTA PERMUDAH RAKYAT MOHON LESEN PERNIAGAAN – @HASNI_JOHOR

PONTIAN, 16/10/21 – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diminta supaya mempermudahkan proses permohonan lesen perniagaan kepada masyarakat di kawasan masing-masing bagi membantu mereka menyara kehidupan yang terkesan akibat pandemik #COVID19.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, dalam keadaan ramai yang terkesan akibat pandemik, perkara-perkara yang membabitkan birokrasi yang membebankan seperti tempoh permohonan lesen perlu segera diselesaikan.

Menurutnya, rakyat amat terkesan dan sebarang usaha yang boleh membantu meringankan beban mereka perlu diambil segera.

“Kalau orang hendak buka kedai makan, jangan sampai berbulan-bulan baru hendak dapat lesen. Kalau boleh permudahkan. Jika rakyat hendak berniaga di mana-mana juga, benarkan mereka.

“Urusan lesen ini kita buat kemudian. Beri mereka ruang dan peluang untuk menambah pendapatan.

“Cari jalan untuk kita boleh mengurangkan kerenah-kerenah dirokrasi dalam keadaan rakyat tersepit, rakyat susah paga waktu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Senamronik Muafakat Makmur Benut (MMB) 53, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, akibat pandemik, hasil Kerajaan Negeri turut berkurangan bagi membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan milik Kerajaan Negeri.

“Kerajaan terpaksa mengurangkan hasil kerana kita beri percuma kepada mereka yang menyewa premis-premis perniagaan untuk peniaga seperti premis-premis milik PBT, agensi kerajaan yang lain serta rumah-rumah yang dimiliki kerajaan,” katanya.

Beliau turut berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini terus memainkan peranan membantu rakyat yang dalam kesusahan.

“Usaha ini saya harap akan jadi perkara lazim. Hari ini bantu mereka yang terkesan akibat pandemik, esok lusa bantu mereka mungkin terkesan sebab perkara lain,” katanya.

Yang turut hadir pada program berkenaan ialah Pengerusi MMB 53, Hairulanuar Tukijo dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pontian, Mohd Azrul Syam Mohamed.

(Visited 21 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0