https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/06/111-3.jpg
in

TOK MAT AKHIRNYA ‘MENGALAH’, LETAK JAWATAN

TOK MAT AKHIRNYA ‘MENGALAH’, LETAK JAWATAN

KUALA LUMPUR: Selepas 18 tahun menerajui Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail akhirnya mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden badan induk itu berkuatkuasa 12 tengah malam ini.

Beliau yang mesra disapa ‘Tok Mat’, berkata keputusan itu diambil sebagai rasa tanggungjawab terhadap kemelut yang melanda PSM ketika ini.

“Pemimpin datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti namun PSM harus dipertahankan.

“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab yang tinggi dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Presiden PSM yang sudah saya sandang sejak 27 Disember 2002 berkuatkuasa 12 tengah malam ini.

“Saya ambil kesempatan ini berterima kasih kepada semua ahli gabungan termasuk negeri yang tidak menyokong saya bermula dari tahun 2014 kerana memberi kerjasama yang baik dan sokongan kepada program serta kejohanan yang dilaksanakan PSM termasuk STL (Liga Sepak Takraw).

“Masalah saya dengan ASTAF (Persekutuan Sepak Takraw Asia) biar mahkamah tentukan,” katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam program temu bual yang disiarkan secara langsung di Astro Arena, sebentar tadi.

Pada 5 Mei lalu, Ahmad dikenakan penggantungan selama 15 tahun oleh ASTAF dan didenda AS$25,000 (RM102,937) susulan tindakannya di atas kapasiti sebagai timbalan presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari lalu yang dilihat melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Penggantungannya kemudian ditambah dua tahun lagi selepas beliau gagal membayar kos perbicaraan selain tidak mengemukakan rayuan selepas tempoh ditetapkan.

PSM turut diheret di atas tindakan Ahmad itu apabila badan induk berkenaan dikenakan hukuman penyingkiran daripada ASTAF berkuatkuasa serta-merta pada 20 Mei lalu.

Badan induk itu turut didenda AS$15,000 (RM61,841) dan tambahan AS$2,000 (RM8,245) sekiranya ingin membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan.

Kemelut PSM kini semakin parah apabila 11 ahli gabungan membuat menarik diri daripada badan induk berkenaan iaitu Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP), Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT).

Turut mengumumkan menarik diri ialah Persatuan Sepak Takraw Perak (PERSEDAR), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS), Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Sabah (ASTAKA)

(Visited 22 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0