https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/06/111-24.jpg
in

SINDIKET JUDI TURUT ‘BEKERJA DARI RUMAH’

SINDIKET JUDI TURUT ‘BEKERJA DARI RUMAH’

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika tempoh kejohanan bola sepak Euro 2020 berlangsung tidak menghalang sindiket pertaruhan judi sukan berkenaan beroperasi secara ‘bekerja dari rumah’.

Tidak hanya melibatkan pertaruhan bagi pasukan yang menang atau jumlah jaringan, sindiket yang mula beroperasi sejak sepak mula turut menawarkan pertaruhan membabitkan kad merah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket terbabit dikesan menggunakan aplikasi media sosial seperti WhatsApp, WeChat dan Telegram untuk mencari pemain dan mendapatkan wang pertaruhan.

“Antara pertaruhan termasuklah pasukan mana yang akan menang, pasukan mana yang mendapat sepakan penjuru terlebih dahulu serta pasukan mana yang akan mendapat kad merah dalam sesuatu perlawanan.

“Kebiasaannya sindiket seperti ini akan beroperasi di premis seperti pejabat atau rumah kedai namun disebabkan PKP, mereka juga memindahkan operasi ke kediaman sahaja,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, polis Johor melancarkan Op Soga VIII – Kontinjen Johor dalam usaha membanteras judi atas talian bermula 10 Jun dan sehingga Sabtu lepas dengan dalam tempoh tersebut seramai 51 individu ditahan.

“Tangkapan itu dilakukan menerusi 40 operasi di seluruh negeri . 51 ditahan berusia 18 hingga 54 tahun dan semua warganegara tempatan.

“Mereka yang ditahan ada ejen atau master ejen bagi 20 laman perjudian atas talian yang berpusat di luar negara,” kata beliau.

Menurut beliau, jumlah nilai pertaruhan daripada semua sindiket ditumpaskan itu sebanyak RM19 juta, manakala wang tunai yang dirampas berjumlah RM35,112.

Kata beliau, polis turut merampas pelbagai peralata untuk menjalankan operasi berkenaan antaranya 71 unit telefon bimbit, enam komputer, tiga mesin kira, 67 simkad dan 15 helai kertas rekod pertaruhan.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan telah dikenakan reman antara dua hingga empat hari manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(d), Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.- UTUSAN

(Visited 20 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0