in

ROMBAKAN 61 PEGAWAI PDRM, JAWATAN NOMBOR DUA MASIH KOSONG

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/06/BA.jpg

ROMBAKAN 61 PEGAWAI PDRM, JAWATAN NOMBOR DUA MASIH KOSONG

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi mengumumkan pertukaran dan lantikan  61 pegawai kanan termasuk tujuh pengarah  di Bukit Aman.

Ini adalah rombakan pertama besar-besaran Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani selepas dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-13 berkuat kuasa 4 Mei lalu.

Mengikut kenyataan Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) dalam satu kenyataan malam tadi, mendahului pertukaran ialah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya bakal memikul tanggungjawab  sebagai Pengarah Cawangan Khas.

“Jawatan Zamri digantikan  Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.

“Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din akan bertukar sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu menyebut, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan pula dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengisi kekosongan Datuk Huzir Mohamed yang bersara  awal Mei lalu.

Sementara itu, penyandang jawatan JPJKK Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim akan berpindah sebagai Pengarah KDNKA Bukit Aman menggantikan Datuk Seri Rahim Jaafar yang bersara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din pula dilantik sebagai pengarah di jabatan sama.

“Komisioner Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass bertukar sebagai pengarah di jabatan yang sama,” sebut kenyataan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dinaikkan pangkat kepada Komisioner dengan menyandang jawatan yang sama. Selain jawatan pengarah, PDRM membuat pertukaran beberapa Ketua Polis Negeri.

Semua 61 lantikan dan pertukaran itu berkuat kuasa 1 Julai ini.

PDRM kini menunggu pengisian jawatan orang dua dalam pasukan itu.  Mengikut laporan media sebelum ini beberapa nama menjadi sebutan untuk mengisi kekosongan itu.

Antaranya   Zamri, Ramli dan  Pengarah Jabatan Logistik, Datuk Seri Mazlan Lazim. Sebelum kenaikan Acryl Sani Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay juga disebut-sebut bakal menganti  Huzir. – Utusan

(Visited 60 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0