https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/06/111-23.jpg
in

LETAK UBAT PADA TEMPAT TAK SAKIT, LUKA PULA TIDAK DIRAWAT – @nordin_khaled

LETAK UBAT PADA TEMPAT TAK SAKIT, LUKA PULA TIDAK DIRAWAT – @nordin_khaled

JOHOR BAHRU – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 separuh masak yang dilaksanakan kerajaan ketika ini hanya akan mengakibatkan rakyat terus ‘terkurung’.

Keadaan itu menyebabkan rakyat menjadi ‘parah’ apabila hilang pekerjaan dan sumber pendapatan, tidak menerima gaji dan pelbagai tekanan lain.

Justeru, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa kerajaan melaksanakan segera beberapa perkara kritikal yang mesti dilaksanakan bukan hanya mengkaji dan mengkaji.

“Pertama, pertambahan bantuan tunai dan sara hidup kepada mereka yang terkesan. Sangat ramai yang sedang tertekan dan berada dalam keadaan yang kritikal. 

“Tolonglah beri perhatian kepada mereka ini dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan sebagai mengulas PKP disambung lagi kerana kes harian bagi setiap juta penduduk adalah antara tertinggi di dunia dan pada angka menakutkan.

“Perkara itu semua kita tahu dan sedar dan kita tidak mempertikaikannya, namun kita persoalkan adalah, sampai bila kita harus berada dalam PKP dan ‘kuncitara’ separa masak seperti ini?,” ujarnya. 

Punca utama penularan kes COVID-19, dakwanya, bukan rakyat yang tidak patuh dan degil kerana kluster harian daripada masyarakat awam adalah minimum. 

Namun, semua rakyat dikerah berkurung dengan tegas dan diminta bersabar dan terus bersabar.

“Data menunjukkan kilang-kilang dan sektor industri yang menjadi penyumbang utama peningkatan kes tetapi merekalah anak emas dibenarkan beroperasi seperti sediakala,” ujarnya. 

Keadaan ini tidak ubah seperti meletakkan ubat pada tempat yang tidak pun sakit, sedangkan bahagian yang luka tidak pula merawat.

Selain itu, kerajaan perlu uruskan negeri dan kawasan yang mempunyai kes yang begitu rendah dengan cara berbeza. 

“Tolonglah semak dan pantau kilang-kilang serta sektor yang menjadi penyumbang besar kes harian. Mereka ini yang perlu difokuskan dengan tegas. Bukannya dengan terus mengurung seluruh negara,” jelasnya- JT

(Visited 40 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0