in

JOHOR TAK BENARKAN KORBAN DI MASJID, SURAU

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/06/111-2.jpg

JOHOR TAK BENARKAN KORBAN DI MASJID, SURAU

JOHOR BAHRU – Johor tidak membenarkan pelaksanaan ibadah korban termasuk aktiviti sembelihan, memotong, menimbang dan mengagihkan daging di masjid dan surau sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bulan depan.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad memaklumkan, aktiviti itu hanya dibenarkan dibuat di rumah sembelihan yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.

Menurutnya, agihan akan dilaksanakan terus oleh pihak penganjur kepada peserta dan asnaf serta fakir miskin selesai kerja ibadah korban di rumah sembelihan.

“Dalam situasi yang sedang berlaku pada waktu ini, maka pelaksanaan ibadah korban perlu dilihat dalam pelbagai sudut termasuklah dalam memutuskan rantaian Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bagi pelaksanaan ibadah korban tahun ini, pusat penyembelihan yang berdaftar adalah sebanyak 115 buah di negeri ini, 12 pemegang lesen swasta rumah penyembelihan (ruminan), lima rumah sembelih swasta sementara dan 10 Pejabat Perkhidmatan Veterinar di setiap daerah.

Beliau berkata, walaupun begitu, pelaksanaan ibadah korban yang dibenarkan hanya melibatkan ibadah wajib sahaja.

“Ibadah korban wajib yang dimaksudkan adalah korban nazar dan korban kali pertama, iaitu bagi mereka yang berkemampuan tetapi belum melaksanakan ibadah tersebut sebelum ini.

“Tarikh dan masa dibenarkan adalah bermula 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Walau bagaimanapun, pelaksanaan korban pada hari pertama hendaklah selepas solat sunat Aidildha dan khutbah dilaksanakan. 

“Waktu operasi rumah sembelihan berdaftar adalah tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pengurusan pusat sembelihan agar mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam melaksanakan ibadah korban berkenaan. – JT

(Visited 113 times, 3 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0