https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/111-33.jpg
in

TIMBANG ‘LOCKDOWN’ PENUH – SULTAN JOHOR

TIMBANG ‘LOCKDOWN’ PENUH – SULTAN JOHOR

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Islandar beritah supaya kerajaan mempertimbangkan ‘lockdown’ penuh jika angka kes Covid-19 tidak menunjukkan penurunan.

“Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit yang melarat dan berterusan,” titah baginda dalam Facebook rasmi Sultan Johor, hari ini.

Sultan Ibrahim amat bersimpati dengan semua petugas barisan hadapan, terutamanya kakitangan perubatan yang terpaksa menanggung bebanan besar yang dibawa virus ini.

“Kepenatan dan kegelisahan mereka jelas kelihatan, namun mereka tetap menjalankan tugas sebaik mungkin. Ingat, bukan COVID-19 sahaja penyakit yang perlu mereka tangani.

“Kasihanilah mereka. Kita semua harus bersatu memainkan peranan untuk mengurangkan beban mereka dan putuskan rantaian jangkitan demi kebaikan kita semua,” titah baginda. 

Baginda juga menerima maklumat terkini tentang situasi terkini Covid-19 menerusi perbualan telefon dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Kemunculan varian-varian baharu juga amat menakutkan yang kini boleh dibawa udara (airborne). Jika jangkitan terus menular, saya risau akan bertambah-tambah lagi varian virus berbahaya ini.

“Dalam keadaan tidak menentu kini juga, saya menyeru kepada pihak yang berkemampuan untuk tampil membantu mereka yang telah ditimpa kesusahan dalam apa jua bentuk yang boleh,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Ibrahim menggesa semua lapisan masyarakat untuk bersikap komited terhadap saranan ‘self-lockdown’ bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Titah baginda, lebih 7,400 kes dilaporkan hari ini sahaja dan perkembangan itu amat membimbangkan.

“Kita perlukan hampir semua pihak duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan. Virus itu tidak bergerak, tetapi disebarkan menerusi pergerakan orang ramai. 

“Kita bukan hanya perlu berdisiplin untuk tidak keluar dari rumah tetapi kita juga perlu ada kesedaran bahawa tindakan kita keluar ke tempat awam mahupun rumah jiran sahaja, akan menyebabkan kita terjangkit atau kita sendiri menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain. 

“Jangan pentingkan diri sendiri, fikirlah juga orang lain,” titah baginda.

Justeru, Sultan Johor mahu semua pihak mesti berdisiplin dan komited bagi menghalang semua terjerumus ke dalam situasi yang lebih parah. – JT

(Visited 23 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0