in

TIADA AKTIVITI RENTAS NEGERI – @CTNurhaliza11

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/111-23.jpg

TIADA AKTIVITI RENTAS NEGERI – @CTNurhaliza11

PETALING JAYA – Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Nurhaliza memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku pada majlis tahnik putera kesayangannya, Muhammad Afwa pada 26 April lalu.

Kata Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 42, dalam satu kenyataan media, sebaliknya individu terlibat bersetuju untuk hadir kerana kebetulan memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

Siti hari ini memuat naik kenyataan rasmi berhubung isu majlis Tahnik anaknya baru-baru ini.

“Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

“Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti seperti yang tertakluk pada tempoh itu.

“Majlis juga terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ke-7 mengikut sunnah Rasulullah,” katanya.

Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, kunjungan itu bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

“Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin.

“Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

Siti turut memohon maaf dan memaklumkan pihaknya sedia memberikan kerjasama andai dipanggil pihak berkuasa untuk tujuan siasatan.

“Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak. Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

“Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik,” katanya.

Semalam Kosmo! Online melaporkan rata-rata netizen menganggap pelantun lagu Kuasa Cintamu itu kurang sensitif dengan keluhan orang ramai berkaitan isu rentas negeri apabila majlis tahnik anaknya disempurnakan dengan kehadiran ilmuan agama termasuk Zulkifli, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari. – K! ONLINE

(Visited 20 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0