https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/111-48.jpg
in

PEMUDA UMNO PASIR GUDANG TAWAR KHIDMAT PERCUMA KE PPV

PEMUDA UMNO PASIR GUDANG TAWAR KHIDMAT PERCUMA KE PPV

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Pasir Gudang menawarkan khidmat kenderaan percuma ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini dalam memastikan tiada golongan tertinggal serta terkecuali menerima suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, usaha itu diambil setelah menyedari kekangan dan permasalahan sebahagian masyarakat yang mungkin berdepan dengan isu pengangkutan untuk ke PPV.

“Kumpulan sasar seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan dibimbangi tidak dapat memenuhi temu janji bagi mendapatkan vaksin di PPV yang ditetapkan atas masalah pengangkutan.

“Ini akan menyebabkan mereka tertinggal dan terlepas peluang untuk mendapatkan vaksin lebih-lebih lagi kumpulan ini merupakan mereka yang berisiko tinggi serta mudah terdedah dengan risiko jangkitan COVID-19.

“Khidmat pengangkutan percuma ini akan memberi keutamaan kepada golongan itu dalam memastikan mereka dapat memenuhi temu janji dan sampai ke PPV, sekali gus mendapat suntikan vaksin masing-masing pada masa ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan Persekutuan baru-baru ni mengumumkan untuk membuka pendaftaran secara sukarela bagi program vaksin COVID-19 untuk kali kedua yang diperluaskan ke Pulang Pinang, Sarawak dan Johor.

Noor Azleen berkata, Pemuda UMNO Pasir Gudang juga mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi melindungi pemandu dan penumpang dengan menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, hanya pemandu yang disahkan negatif melalui saringan COVID-19 dibenarkan untuk membawa penumpang ke PPV melalui khidmat itu. 

Kenderaan yang bersih dan sentiasa disanitasi disediakan selain pemandu mesti memakai pelitup dan pelindung muka sepanjang masa.

“Bagi penumpang pula, maksimum dua orang sahaja dibenarkan dari kediaman yang sama selain memastikan penumpang juga memakai pelitup muka sepanjang berada dalam kenderaan,” katanya.

Diharapkan usaha itu bukan sahaja membantu kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok (herd immunity) tetapi menyumbang terhadap usaha kerajaan untuk memastikan tiada golongan terkecuali menerima vaksin.

“Inisiatif ini juga diharap menyumbang kepada usaha untuk memastikan tidak berlaku isu ‘vaccine inequity’ khususnya dalam kalangan kumpulan sasar yang berkenaan,” katanya. – JT

(Visited 9 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0