in

PELANGGARAN SANGAT KUAT, PENUMPANG MENJERIT, PANIK

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/111a-1.jpg

PELANGGARAN SANGAT KUAT, PENUMPANG MENJERIT, PANIK

KUALA LUMPUR: “Keadaan tenang dalam tren tiba-tiba bertukar menjadi panik dengan suara penumpang menjerit;” kata seorang mangsa insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, malam tadi.

Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27, berkata kemalangan itu berlaku dalam sekelip mata.

“Ketika dalam perjalanan menuju ke arah stesen Kampung Baru, tren tiba-tiba berhenti mengejut hingga menyebabkan sebahagian penumpang tercampak dan terpelanting dalam tren.

“Sekelip mata saja kemalangan berlaku dan keadaan di dalam tren bertukar menjadi panik,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menceritakan kejadian, Afiq yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini berkata, kemalangan yang berlaku di laluan bawah tanah berhampiran Stesen LRT KLCC itu mengakibatkan ramai penumpang tercedera.

Beliau berkata, dia menaiki tren itu untuk menuju ke Ara Damansara.

“Sebelum kejadian, tren ada berhenti selama 15 minit dan kemudian bergerak semula. Tak sampai 10 saat bergerak, berlaku pelanggaran dan impaknya sangat kuat.

“Saya cedera di kepala, kaki kiri dan sakit dada,” katanya.

Afiq berkata, dia dan penumpang lain dibawa keluar oleh pasukan keselamatan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Malam tadi, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah dalam perlanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya di sini.

Kedua-dua tren dilaporkan bertembung kira-kira jam 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata tren dari Gombak membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang, dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku.

Beliau berkata, 166 penumpang dilaporkan mengalami luka ringan.”Semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010,” katanya malam tadi.

Sementara itu, Bernama melaporkan, ibu kepada seorang penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) yang cedera, Mazuin Bahari, 51, berkata hatinya bimbang apabila anaknya, Tengku Ahmad Raiyan Tengku Naha, 27, menghubunginya bagi memaklumkan kejadian itu.

“Saat Raiyan bagi tahu tren yang dia naik alami kemalangan, hati saya dah tak sedap, bimbang keselamatan dia.

“Waktu dia (Raiyan) telefon itu, dia beritahu kaki kanannya tidak boleh digerakkan selain turut berasa sakit pada bahu akibat hentakan kuat.

“Saat itu saya bersama suami terus bergegas ke lokasi kejadian, namun diberitahu semua mangsa telah dibawa ke hospital,” katanya yang sama sekali tidak menyangka kejadian itu berlaku di negara ini, kerana baginya berita kemalangan seumpama itu biasa didengarnya berlaku di luar negara sahaja.

Seorang lagi ibu mangsa, Syafiza Abd Hashib, 45, berkata beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan daripada anaknya Adzleen Syzarenna, 24, melalui satu nombor telefon yang tidak dikenali.

Syafiza berkata, anaknya yang bekerja di sebuah bank di Ampang sering menggunakan pengangkutan awam itu untuk berulang-alik ke rumah sewanya di Subang.

“Anak telefon dan beritahu terbabit dalam kemalangan tren, dan kejadian itu baharu seminit berlaku, dan dia bagi tahu cedera di bahagian pergelangan kaki dan tak boleh bangun.

“Saya terkejut dan terus ke lokasi kejadian, sempat berjumpa dengan dia yang masih berada dalam keadaan terkejut,” katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati beberapa ahli keluarga menunggu di perkarangan unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) penuh sabar bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berhubung mangsa yang sedang menerima rawatan.

Lebih 10 ambulans dilihat tiba di unit kecemasan hospital, membawa mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, dengan kebanyakan mereka yang kelihatan lemah, dibantu oleh kakitangan perubatan untuk dibawa masuk bagi mendapatkan rawatan.

(Visited 5 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0