in

PAS, GERAKAN JOHOR BELUM ‘MINTA’ KERUSI – SAHRUDDIN

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/111-13.jpg

PAS, GERAKAN JOHOR BELUM ‘MINTA’ KERUSI – SAHRUDDIN

JOHOR BAHRU: Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang kini bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN) belum menyatakan hasrat mereka berhubung jumlah kerusi yang mahu ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri ini.

Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, satu mesyuarat bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan kedua-dua parti komponen dalam PN itu akan diadakan pada masa terdekat.

“PN akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat untuk (berbincang) mengenai pembahagian kerusi antara Bersatu, Pas dan Gerakan, kita sedang menunggu ‘green light’ daripada pucuk pimpinan untuk adakan mesyuarat itu.

“Setakat ini, Pas dan Gerakan belum menyatakan berapa kerusi mereka nak bertanding (di Johor), tetapi Insya-Allah kita akan cuba cari jalan penyelesaian yang terbaik supaya ketiga-tiga parti berpuas hati dengan pembahagian itu,” katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Badan Pimpinan Bersatu Negeri Johor bersama Media Johor di Hotel Holiday Villa di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Johor, Ir. Md. Nasir Hashim yang juga Senator Dewan Negara dan Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak.

Sementara itu, Dr. Sahruddin yang juga Setiausaha Bersatu Johor berkata, parti itu masih terbuka bagi menjalin hubungan kerjasama dengan UMNO meskipun reaksi kepimpinan UMNO kebelakangan ini yang banyak menghentam Bersatu.

“(Walaupun) Kita sentiasa buka pintu untuk kerjasama dengan UMNO, namun memandangkan respons kebelakangan ini yang UMNO banyak hentam atau tak setuju untuk kita bersama-sama, jadi pihak kami (perlu) sentiasa siap sedia menghadapi PRU-15 tak kisah siapa pun lawan kita, sama ada dua penjuru atau tiga penjuru.

“Maknanya, kalau mereka (UMNO) tidak mahu bersama kita, kita siap sedia sahajalah untuk (pertembungan) tiga penjuru,” katanya yang mengesahkan tiada pembahagian kerusi antara PN dan UMNO dibincangkan sehingga hari ini. -UTUSAN

(Visited 10 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0