https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/111-22.jpg
in

MAHU BELI KERETA MURAH, PEMANDU LORI AKHIRNYA TERTIPU

MAHU BELI KERETA MURAH, PEMANDU LORI AKHIRNYA TERTIPU

Foto: hiasan

KUANTAN – Gara-gara mahu membeli kereta terpakai dengan harga murah, seorang pemandu lori rugi RM14,850 apabila terperdaya dengan iklan penjualan kereta tidak wujud di laman sosial Facebook pada Januari lalu.

Mangsa berusia 56 tahun sebelum itu dimaklumkan rakannya mengenai iklan penjualan kereta jenis Honda City di Facebook milik Everay Scrab Moto berharga RM9,200.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi seorang lelaki yang dikenali Mr Yong bagi urusan pembelian kenderaan tersebut.

Menurutnya, suspek meminta mangsa membayar RM6,200 sahaja kerana kononnya memberi potongan harga sempena Tahun Baharu Cina.

“Mangsa berminat untuk membeli kereta yang ditawarkan. Suspek meminta mangsa menghubungi Mr Ong bagi urusan pembelian kereta tersebut.

“Selepas bersetuju, mangsa diminta membuat pembayaran bagi penempahan kereta, urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pelbagai urusan lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa telah membuat lapan transaksi ke dalam tujuh akaun yang berbeza berjumlah RM14,850 pada 9 Februari hingga 30 April lalu.

Pada Ahad lalu, katanya, suspek sekali lagi menghantar satu pesanan menerusi WhatsApp meminta wang sebanyak RM1,000 kononnya bagi urusan penghantaran kereta.

Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak mempunyai wang untuk membuat pembayaran tersebut.

“Mangsa kemudian bertanyakan suspek mengenai kereta yang dibelinya, namun suspek menyekat nombor telefonnya.
“Mangsa berasa tertipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh,” kata beliau.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang penolong pengurus sebuah syarikat rugi RM5,000 apabila ditipu individu menyamar sebagai rakannya bagi tujuan meminjam wang.

Mohd Wazir berkata, kejadian bermula pada Ahad apabila mangsa berusia 37 tahun menerima satu pesanan menerusi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri dengan nama Azali Wawasan Damaq.

Katanya, suspek memaklumkan mahu meminjam wang daripada mangsa dan akan membayar semula pada sebelah malam.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa membuat pemindahan wang secara dalam talian ke dalam dua akaun berbeza sebanyak RM5,000,” katanya.

Beliau berkata, setelah membuat pemindahan itu, mangsa menerima satu lagi pesanan daripada Azli meminta agar tidak membuat pemindahan wang.

Menurutnya, Azli mendakwa nombor telefonnya telah digodam dan ada individu yang menggunakan nombor telefonnya untuk meminjam wang.

“Mangsa berasa telah ditipu tampil membuat laporan polis pada semalam (Ahad),” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -BH

(Visited 6 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0