in

KOS INSURANS UMRAH ANTARA RM55 – RM76

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/111-14.jpg

KOS INSURANS UMRAH ANTARA RM55 – RM76

KUALA LUMPUR: Jemaah umrah dijangka perlu membayar premium tambahan antara RM55 hingga RM76 untuk membolehkan mereka dilindungi insurans risiko jangkitan COVID-19.

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) menyifatkan kadar itu bukanlah sesuatu yang membebankan.

Pengerusi PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata maklumat yang diperoleh pihaknya mendapati ia cuma membabitkan bayaran tambahan antara 50 hingga 70 riyal (RM55 hingga RM76).

Katanya, bayaran tambahan itu diserap sebagai kos untuk mendapatkan visa umrah daripada muassasah yang kini berharga kira-kira RM750.

“Ini sama sahaja dengan dulu (insurans umrah), cuma bila ada COVID-19, dia masukkan sahaja dalam kos insurans.

“Tak banyak pun, tambah 50 ke 70 riyal sahaja. Insurans ini disediakan oleh syarikat di sana, bukan syarikat Malaysia dan untuk mendapat visa umrah kita kena bayar melalui muassasah,” katanya kepada BH.

Sebelum ini, Bank Pusat Arab Saudi dan Majlis Insurans Kesihatan Koperasi mengumumkan mengenai keperluan untuk mengemas kini format polisi insurans umrah dengan menambahkan liputan untuk risiko jangkitan COVID-19.

Memetik portal berita Saudi Gazette, penambahan syarat itu bertujuan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk bukan warganegara Arab Saudi dari luar negara untuk tujuan pelancongan, lawatan dan umrah sekiranya mereka dijangkiti virus berkenaan.

Ini adalah untuk memastikan keselamatan semua pihak selain memastikan akses yang cepat dan mudah dalam mendapatkan rawatan.

Mengulas mengenai unjuran kenaikan kos umrah sebanyak sekali ganda akibat COVID-19, Razali menegaskan syarikat pengendali tidak mendapat apa-apa keuntungan tambahan.

Katanya, peningkatan kos itu adalah bagi menampung keperluan logistik semata-mata.

“Bukan maknanya untung agensi bertambah, ini kos logistik. Malah saya jangka peningkatan kos ini menjejaskan syarikat pengendali umrah kerana pastinya jumlah jemaah akan berkurangan.

“Ini bergantung kepada permintaan dan penawaran, bila harga tinggi, jemaah akan kurang. Kalau dulu ada 300,000 jemaah, mungkin kali ini jadi 200,000.

“Ada lagi faktor penyumbang lain seperti had umur jemaah, kalau dulu bebas, sekarang hanya untuk yang berumur 60 tahun ke bawah,” katanya.

Beliau turut memperincikan punca kenaikan kos umrah seperti syarat maksimum dua orang sebilik berbanding empat ke lima orang sebelum ini dan pengurangan kapasiti penumpang dalam bas.

“Tiket kapal terbang dulu RM2,800, sekarang RM3,000. Visa dulu RM300 sekarang jadi kira-kira RM750, ujian calitan dua kali RM250 dan kos kuarantin RM1,800,” katanya. – BH

(Visited 7 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0