https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/111-45.jpg
in

JOHOR BENARKAN 12 JEMAAH SAHAJA SOLAT JUMAAT

JOHOR BENARKAN 12 JEMAAH SAHAJA SOLAT JUMAAT


Foto: hiasan

JOHOR BAHRU – Berkuat kuasa esok, jumlah jemaah yang dibenarkan solat fardu Jumaat di masjid dan surau di negeri Johor dihadkan 12 orang sahaja, manakala empat orang bagi solat lima waktu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Arahan terbaharu itu dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor berikutan sebanyak 91 buah masjid dan surau telah ditutup sementara hingga semalam disebabkan peningkatan kes COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, pelaksanaan solat Jumaat seramai 12 orang dalam kalangan ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau atau ahli kariah berkenaan sahaja tidak termasuk imam, bilal dan noja yang bertugas.

“Bagi solat fardu lima lima waktu adalah seramai empat orang dalam kalangan imam, bilal dan noja sahaja

“Surau kariah adalah seramai empat orang sahaja terdiri daripada pegawai surau iaitu imam, bilal dan noja sahaja. Jarak antara saf hendaklah diselangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 20 Mei lalu, MAINJ telah mengehadkan bilangan jemaah yang dibenarkan menunaikan solat fardu Jumaat dan solat lima waktu kepada 50 orang bagi masjid dan 20 orang untuk surau seluruh Johor.

Menurut Tosrin, ruang solat bagi musafir adalah tidak dibenarkan begitu juga solat jenazah di surau dan masjid juga tidak dibenarkan.

“Aktiviti ziarah tanah perkuburan dalam tempoh PKP adalah tidak dibenarkan.

“Walau bagaimanapun, pengebumian jenazah dibenarkan dengan kehadiran 12 orang waris terdekat tidak termasuk petugas tanah perkuburan dengan syarat bukan jenazah pesakit COVID-19,” ujarnya.

Dalam situasi COVID-19 yang semakin meningkat, MAINJ menyeru semua bersatu hati merafakkan doa, semoga wabak COVID-19 ini segera berakhir dengan cara munajat kepada Allah SWT.

“Mendirikan solat secara berjemaah di rumah kediaman masing- masing, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, berselawat ke atas Rasul SAW dan amalan kebaikan yang lain dan semoga beroleh perlindungan Allah daripada segala wabak dan bencana,” katanya. – JT

(Visited 5 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0