https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/111-36.jpg
in

JANGKITAN #COVID19 TERHADAP KANAK-KANAK MAKIN SERIUS

JANGKITAN #COVID19 TERHADAP KANAK-KANAK MAKIN SERIUS

Foto: hiasan

KUALA LUMPUR: Trend terbaharu jangkitan COVID-19 terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan dengan lebih ramai bayi berusia bawah dua tahun yang dijangkiti berada dalam keadaan lebih serius berbanding dahulu.

Pakar Pediatrik Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS), Dr Mohd Zuraizi Jaafar, berkata meskipun mengikut statistik, peratusan jangkitan terhadap kanak-kanak masih rendah tetapi kadar kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin tinggi.

Beliau berkata, trend terbaharu jangkitan terhadap kanak-kanak terutamanya melalui gelombang ketiga ini, berkemungkinan berkait dengan varian COVID-19 baharu yang disifatkan sebagai lebih ganas dan cepat tersebar.

“Jika anda terdedah kepada jangkitan COVID-19, perhatikan keadaan anak-anak. Meskipun kadar jangkitan kepada golongan ini masih rendah tetapi keadaan mereka lebih mudah menjadi teruk dengan pantas.

“Jika anak-anak sudah semakin kurang menyusu atau makan, kurang aktif, mulai selesema atau batuk, jangan berlengah dan terus bawa mereka ke hospital pakar seperti hospital negeri.

“Jangan beri tambahan risiko pendedahan kepada perawat perubatan yang lain. Terus ke pusat saringan di hospital dan maklumkan bahawa ibu bapa dan penjaga terdedah kepada pesakit COVID-19 yang berada dalam tempoh kuarantin atau rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zuraizi berkata, secara umumnya pada peringkat awal gelombang pertama, kadar jangkitan dan keseriusan COVID-19 kepada kanak-kanak adalah rendah dan ini meredakan kebimbangan ibu bapa dan juga pakar mengenai jangkitan terhadap golongan itu.

Bagaimanapun, disebabkan trend terbaharu ini, Mohd Zuraizi sebagai pakar kanak-kanak menyarankan ibu bapa untuk tidak mengambil ringan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di luar rumah terutamanya pada waktu bekerja.

Ibu bapa katanya, perlu mematuhi penjarakan satu meter dan memastikan penggunaan pelitup muka terutamanya apabila berada di antara rakan sekerja, pelanggan atau jiran tetangga bagi mengurangkan risiko membawa virus ini balik ke rumah kepada anak-anak.

“Ibu bapa perlu memastikan mereka sentiasa mencuci tangan atau membersihkan diri sebelum bersentuhan atau ketika memeluk dan mencium anak-anak. – BH

(Visited 14 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0