https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/111-29.jpg
in

DMJ CADANG LAKSANA ‘TOTAL LOCKDOWN’ DI JOHOR

DMJ CADANG LAKSANA ‘TOTAL LOCKDOWN’ DI JOHOR

JOHOR BAHRU – Dewan Muda Johor (DMJ) meminta kerajaan negeri mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh atau ‘total lockdown’ di negeri ini.

Langkah itu amat perlu bagi membendung dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 yang semakin meningkat di Johor sejak kebelakangan ini.

DMJ turut mencadangkan kepada kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad supaya mendesak kerajaan Persekutuan supaya bekalan vaksin untuk rakyat Johor disegerakan.

Dan sekiranya PKP menyeluruh dilaksanakan, suatu pakej bantuan khas dan moratorium secara automatik diberikan kepada rakyat bagi tempoh yang bersesuaian.
Berikut ialah intipati syor dan cadangan DMJ:

Dewan Muda Johor (DMJ) telah menghantar syor serta cadangan kepada YAB Datuk Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor melalui surat rasmi kepada Pejabat Menteri Besar Johor pada hari ini, 18 Mei 2021.

Antara initipati syor dan cadangan dalam surat tersebut adalah seperti berikut:

i) Kerajaan Negeri Johor perlu membantu rakyat Johor / golongan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

ii) Penyaluran bantuan yang telah diluluskan melalui Belanjawan Johor 2021 terutamanya di bawah agenda “Johor Berkebajikan” perlu disegerakan.

iii) Kerajaan Negeri Johor perlu mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar PKP yang lebih menyeluruh dilaksanakan di Johor.

iv) PKP yang menyeluruh atau “total-lockdown” tersebut perlu diimbangi dengan satu pakej bantuan khas seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan moratorium secara automatik untuk satu tempoh yang bersesuaian.

v) Kerajaan Negeri Johor perlu mendesak agar bekalan vaksin dapat dipercepatkan untuk rakyat Johor bagi memastikan usaha kita bagi membentuk imuniti kelompok (‘herd immunity’) dapat dicapai dengan kadar yang segera.

vi) Kerajaan Negeri Johor perlu melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara menyeluruh di seluruh negeri Johor bagi mengesan penularan Covid-19.

vii) Kerajaan Negeri Johor perlu menasihati YAB Perdana Menteri untuk segera menamatkan proklamasi darurat agar institusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat bersidang dan sistem demokrasi negara dapat dikembalikan.

DMJ berharap agar syor dan cadangan ini akan diperhalusi oleh Kerajaan Negeri Johor.
“Demi Johor, Untuk Malaysia”
DEWAN MUDA JOHOR
– VOICE

(Visited 74 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0