https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/05/333-3.jpg
in

3 ANGGOTA PGA DITAHAN UGUT PASANGAN KEKASIH – @POLISJOHOR

3 ANGGOTA PGA DITAHAN UGUT PASANGAN KEKASIH – @POLISJOHOR

JOHOR BAHRU: Tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Lans Koperal ditahan selepas memeras ugut sepasang kekasih yang sedang berdua-duaan dalam sebuah kereta di Tambak, Pontian, dekat sini, malam Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay,berkata dalam kejadian jam 9 malam, tiga anggota PGA yang berpakaian preman dan berusia antara 27 hingga 33 tahun itu, mengugut pasangan kekasih berkenaan supaya memberikan mereka wang sebanyak RM5,000.

Katanya, ia bagi membolehkan tiada tindakan undang-undang diambil terhadap pasangan kekasih berkenaan termasuk tidak dirujuk kepada Jabatan Agama Islam untuk tindakan susulan.

“Disebabkan ketakutan, seorang daripada pasangan kekasih itu mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM)di sebuah bank dan menyerahkannya kepada anggota berkenaan.

“Anggota PGA berkenaan turut meminta gelang dan cincin emas yang dipakai mangsa wanita sebagai cagaran berikutan wang yang diberikan tidak cukup RM5,000.

“Kedua-dua mangsa yang dilepaskan kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, susulan laporan itu, polis berjaya mengesan dan menahan tiga suspek berkenaan, pada hari yang sama.

“Tiga suspek direman untuk siasatan lanjut dengan rampasan terhadap gelang dan cincin emas daripada seorang suspek juga sudah dilakukan.

“Ketiga-tiga suspek juga sudah didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kulai pagi tadi, kerana ugutan.

“Semua suspek mengaku tidak bersalah dan diberi jaminan RM7,000 setiap seorang sementara menanti perbicaraan,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, Polis Johor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota agensi berkenaan yang melakukan jenayah.

Katanya, orang awam dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ada anggota dan pegawai terbabit dalam sebarang perbuatan jenayah.

“Polis Johor sudah mengambil tindakan tatatertib kepada 54 individu membabitkan lima pegawai kanan polis dan 49 pegawai rendah, mengikut statistik dari Januari lalu hingga hari ini.

“Seramai lapan anggota dan pegawai polis Johor sudah dibuang kerja, 59 ditahan kerja, 14 digantung kerja manakala 72 lagi menunggu perbicaraan atas tindakan tatatertib yang diambil dalam tempoh sama kerana melakukan jenayah termasuk dadah, samun dan memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

– BH

(Visited 15 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0