https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-1-11.jpg
in

SOROK ROKOK SELUDUP DALAM LORI MAKANAN RINGAN

SOROK ROKOK SELUDUP DALAM LORI MAKANAN RINGAN

JOHOR BAHRU – Taktik licik sindiket yang cuba menyorok rokok dalam lori makanan ringan terbongkar selepas diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor di sebuah premis di Jalan Gambang, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, dalam serbuan pukul 8.30 pagi itu, pihaknya menemukan 2.6 juta batang rokok dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan termasuk lori berkenan berjumlah RM2.4 juta.

Kedua-dua lori itu dijadikan tempat penyembunyian rokok putih dan rokok kretek dipercayai belum lulus kastam.

“Terdapat kotak-kotak di bahagian belakang lori tersebut yang telah diisi dengan pelbagai jenis makanan ringan bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelakkan kegiatan mereka dikesan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam serbuan kedua, Kastam Johor menyerbu sebuah premis tidak bernombor dan berkunci di Jalan IM, Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada jam 10.40 pagi Jumaat.

Hasil pemeriksaan katanya, menemukan 1.7 juta batang rokok bernilai RM1.5 juta dan usaha mengesan pemilik premis sedang dijalankan.

Sementara itu, kes ketiga katanya, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori ‘bonded’ sedang diletakkan di tepi Jalan Tun Abdul Razak di sini pada jam 10.15 malam Jumaat.

Hasil pemeriksaan rapi ke atas lori ‘bonded’ 5 tan dengan label makanan ringan tersebut menemukan sejumlah rokok putih yang dipercayai belum lulus kastam cuba disembunyikan.

“Taktik licik sindiket adalah dengan menyusun rokok-rokok seludup di bahagian hadapan ruang kargo lori tersebut manakala bahagian belakangnya disusun dengan tong-tong putih kosong bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Terdapat 200,000 batang rokok putih seberat 160 kilogram. Nilai keseluruhan dagangan yang disita termasuk cukai dan kenderaan berjumlah RM270,000. Usaha mengesan pemilik kenderaan sedang dijalankan,” katanya.

Sazali berkata, bagi kes keempat pihaknya merampas 131,484 batang rokok seludup bernilai RM233,028 di sebuah pasar mini dan dalam dua buah kenderaan di Tenang, Segamat pada jam 11 pagi Sabtu lalu.

“Semasa serbuan kenderaan berkenaan, iaitu sebuah kereta Sedan dan sebuah pacuan empat roda berada di kawasan pasar mini tersebut.

Seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. – JT

(Visited 4 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0