https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-6.jpg
in

SAYA TIDAK AKAN KONGSI SENARAI, TERUS TANGKAP – AYOB KHAN

SAYA TIDAK AKAN KONGSI SENARAI, TERUS TANGKAP – AYOB KHAN

JOHOR BAHRU – “Tak guna saya keluarkan senarai dan kongsi pada semua, nak buat apa? Saya pasti bila lengkap nanti tangkapan akan dibuat, tunggu dan lihat.”

Demikian tegas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay apabila tanya tentang senarai nama pegawai dan anggota polis yang didakwa bersekongkol dengan jenayah terancang didalangi ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Menurutnya, senarai tersebut tidak akan didedahkan walaupun diminta oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Inilah format yang akan saya gunakan dalam kes membabitkan kumpulan Geng Nicky. Keutamaan tindakan tata tertib adalah paling akhir sekali dan saya tidak akan serah (senarai nama) kepada JIPS untuk diambil tindakan,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis Johor sudah membuktikan kejayaan dalam mengambil tindakan terhadap jenayah terancang.
“Di Johor kita sudah buktikan, kita sudah tangkap 24 anggota dan pegawai penguat kuasa menerusi Op Benteng dan mereka sudah didakwa di bawah jenayah terancang,” katanya.

Ayob Khan tidak menolak kemungkinan lebih ramai anggota dan pegawai polis yang bersekongkol dengan Geng Nicky berdasarkan hasil siasatan forensik dan barangan rampasan yang dibuat ke atas kes berkenaan.

“Tunggulah…benda ini tidak statik kerana daripada soal siasat kita, ia akan berkembang.

“Yang pasti lebih ramai bukan setakat 34 orang (anggota dan pegawai polis) sahaja. Senarai nama memang tidak akan didedahkan, saya akan terus tangkap,” tegasnya.

Semalam, Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya dilaporkan berkata bahawa pihaknya masih menunggu senarai nama anggota dan pegawai polis yang didakwa bersekongkol dengan Geng Nicky untuk tindakan lanjut, termasuk merakam keterangan dan tindakan jika didapati menyalahi tata kelakuan serta disiplin. – JT

(Visited 37 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0