https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-30.jpg
in

@PERHILITAN RAMPAS 1,070 BURUNG MURAI

PERHILITAN RAMPAS 1,070 BURUNG MURAI

KULAI – Sebanyak 1,070 ekor burung murai dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor di sebuah rumah di Taman Wawasan Kelapa Sawit di sini kelmarin.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, rampasan itu dilakukan dalam satu operasi pukul 7.30 malam itu yang melibatkan seramai tujuh pegawai dan anggota Perhilitan.

“Hasil pemeriksaan di premis dan kenderaan yang berada di situ menemukan 70 ekor burung murai batu dan 1,000 ekor burung murai kampung yang disembunyikan untuk di seludup ke negara jiran, nilainya dianggarkan bernilai RM66,000.

“Selain itu, beberapa barangan termasuk kenderaan jenis Toyota Estima yang digunakan, satu unit telefon bimbit dan 74 bakul plastik dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun sebelum diperiksa dan diambil keterangan untuk siasatan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Berdasarkan siasatan awal katanya, lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menyimpan hidupan liar berkenaan dan juga disyaki cuba menyeludup hidupan liar tersebut ke negara jiran.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat dan barangan kes telah dibawa ke pejabat Perhilitan Bandar Penawar untuk tindakan lanjut,” katanya. – JT

(Visited 4 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0