https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-1-3.jpg
in

PENGURUS POSITIF DADAH, 4 PENGAWAL KESELAMATAN WARGA ASING DITAHAN

PENGURUS POSITIF DADAH, 4 PENGAWAL KESELAMATAN WARGA ASING DITAHAN


ISKANDAR PUTERI – Seorang pengurus warga tempatan dan empat pengawal keselamatan warga asing yang tidak mempunyai permit kerja ditahan di sebuah taman perumahan kawasan Mutiara Rini, Skudai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dua pengawal keselamatan warga Pakistan berusia 29 dan 34 tahun itu ditahan di sebuah pondok pengawal keselamatan di taman tersebut pada jam 11.30 pagi.

Katanya, angggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri yang menahan kedua-dua pengawal keselamatan itu mendapati mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan permit yang sah.

“Seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun yang merupakan pengurus kepada dua pengawal keselamatan tersebut turut ditahan semasa berada di lokasi sama kerana telah melanggar syarat lesen agensi persendirian dan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit.

“Kesemuanya menjalani ujian saringan air kencing dan hasilnya pengurus pengawal keselamatan itu positif dadah jenis methamphetamine. Pengurus tersebut juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan tangkapan tersebut, pada jam 11.30 malam hari yang sama sepasukan anggota IPD Iskandar Puteri membuat tangkapan kedua melibatkan dua lagi pengawal keselamatan asing, iaitu warga India dan Paksitan.

Kedua-dua pengawal keselamatan yang berusia 28 dan 23 tahun itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan ditangkap semasa berada di pondok pengawal keselamatan taman tersebut.

“Sebanyak empat helai baju pengawal keselamatan berwarna putih yang dipakai tertera logo dan tulisan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PKIM) turut dirampas,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 14 Akta Agensi Persendirian 1971. – JT

(Visited 13 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0