https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/1111.jpg
in

PEMERASAN: SEORANG PEGAWAI, 3 ANGGOTA POLIS DITAHAN

PEMERASAN: SEORANG PEGAWAI, 3 ANGGOTA POLIS DITAHAN

JOHOR BAHRU – Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Perumpamaan itu sesuai ditujukan kepada seorang pegawai dan tiga anggota polis yang dipercayai sudah lama melakukan jenayah pemerasan terhadap pengusaha kilang di Batu Pahat.

Namun, dalam jenayah terbaharu minggu lalu, mereka ‘kantoi’ apabila seorang pengurus kilang perabot yang diugut dan diminta membayar RM1,000 membuat laporan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini berkata, pegawai dan tiga anggota yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat ditahan Khamis lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati pengurus kilang berusia 50 tahun itu diugut untuk memberi wang sebanyak RM1,500 sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan ke atas pekerja asing di kilang perabot itu yang tidak mempunyai dokumen sah.

Namun, pengurus kilang berkenaan tidak dapat menyediakan jumlah yang diminta dan pegawai serta anggota terbabit bersetuju dengan bayaran RM1,000.

“Pengurus kilang itu menyerahkan wang tersebut kepada pegawai dan tiga anggota polis berkenaan yang kemudiannya beredar dari lokasi tanpa mengambil tindakan terhadap pekerja asing terbabit.

“Susulan laporan polis yang dibuat pengurus kilang berkenaan, pegawai dan anggota polis berusia antara 26 hingga 46 tahun itu ditahan Khamis lalu.

“Mereka direman bermula 8 hingga 9 April lalu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan berhubung kes ini sedang dikemas kini dan mereka mungkin didakwa di mahkamah hujung minggu ini,” katanya sambil memaklumkan pegawai dan tiga anggota tersebut dipercayai sudah lama menjalankan jenayah berkenaan dengan menjadikan kilang-kilang di daerah Batu Pahat sebagai sasaran. – JT

(Visited 8 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0