https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-4.jpg
in

PEMANDU LORI DIDAKWA BERI RASUAH RM3,000

PEMANDU LORI DIDAKWA BERI RASUAH RM3,000

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini atas kesalahan memberi rasuah sebanyak RM3,000 kepada seorang kakitangan kerajaan pada November 2019.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Chiang Kok Jen, 56, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kok Jen didakwa memberi suapan sebanyak RM3,000 kepada Pegawai Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Mohd. Zaki Harry Susanto di Tingkat 20, Menara MSC Cyberport, di sini pada pukul 9.15 malam, 9 November 2019.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan supaya Mohd. Zaki tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan membuang sampah dan sisa pepejal di tempat yang tidak dibenarkan.

Kok Jen didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, K. Shatesh, manakala tertuduh diwakili peguam bela, K. Barathi. – JT

(Visited 11 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0