https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-24.jpg
in

NOTIS MERAH BURU NICKY, ISTERI

NOTIS MERAH BURU NICKY, ISTERI

JOHOR BAHRU – Ahli perniagaan yang masih dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang disyaki mendalangi sebuah kumpulan jenayah terancang di negara ini kini berada dalam senarai individu dikehendaki dan dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Kelulusan tersebut diperoleh kelmarin dalam usaha memberkas pengasas Winner Dynasty Group itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, turut dikenakan notis merah oleh Interpol ialah isteri kepada Nicky Liow, Niu Zhe yang merupakan seorang warganegara China yang dikeluarkan semalam. 

“Kita sudah mendapat notis merah bagi kedua-dua mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Pada 15 April lalu, polis dalam proses untuk mendapatkan notis merah bagi memohon bantuan Interpol dalam usaha menjejaki Nicky Liow.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan pihaknya sudah memohon dua notis, iaitu biru dan merah.

Notis biru berfungsi untuk mengesan lokasi di mana suspek berada, manakala notis merah pula membolehkan polis membuat permohonan kepada Interpol bagi memberkas suspek.

Sementara itu, Ayob turut mengesahkan tangkapan yang dibuat ke atas seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden berhubung kumpulan jenayah terancang diketuai Nicky Liow, semalam.

Pegawai berusia 40 tahun dan memegang jawatan sebagai ketua bahagian di sebuah jabatan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur itu ditahan pukul 11.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari IPK Johor.

Namun, Ayob enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut. 

“Saya hanya dapat sahkan tangkapan yang dibuat tapi tak akan mengeluarkan kenyataan kerana operasi masih berjalan. 

“Sebarang kenyataan mengenai operasi dan siasatan tersebut, IPK Johor akan keluarkan. Kita tak nak keluarkan kenyataan sedikit demi sedikit kerana khuatir akan menjejaskan operasi yang sedang berjalan,” katanya. – JT

(Visited 12 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0