https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-1-8.jpg
in

‘MAT BOND’ MASIH SIHAT

‘MAT BOND’ MASIH SIHAT

JOHOR BAHRU – Pelawak dan pelakon veteran filem Melayu, Abdul Rashid Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol menafikan dia kini uzur dan terlantar sakit di rumahnya di Jalan Rajawali, Larkin Jaya di sini.

Menurut seniman di bawah Cathay Keris Film Productions yang popular pada era 50-an hingga 70-an itu, dia juga boleh berjalan dan ingatannya masih kuat walaupun sudah berusia 88 tahun.

“Saya alhamdulillah sihat, sakit-sakit orang tua. Biasalah. Semalam (Rabu) jalan-jalan ke bazar Ramadan tengok-tengok orang, tak beli apa-apa pun. Dah dua hari anak bawa saya ke bazar Ramadan,” katanya selepas menerima kunjungan Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Khirul Nizam Mad Said yang menyampaikan bantuan khas RM300 kepada Mat Sentol di rumahnya semalam.

Anak kelahiran Muar itu pernah membintangi filem, antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Raja Kapor, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic termasuk berlakon dalam filem arahannya sendiri.

Beliau bukan sahaja merupakan seorang pelakon komedi dan pengarah filem yang disegani semasa aktif dalam bidang perfileman, malah perintis atau bapa teknik kesan khas filem Melayu hingga pernah mendapat anugerah.

Mat Sentol kini tinggal berdua dengan anak lelakinya, Rosli Rashid, 59, di kediaman tersebut sejak kematian isteri, Jamilah Kasri, 71, pada Disember lalu.

Menurut beliau yang juga popular dan pernah aktif menghasilkan iklan-iklan untuk televisyen dan radio antaranya Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo, kini banyak menghabiskan masa dengan menulis skrip mengenai kisah hidupnya.

“Adalah sikit-sikit, kalau saya Mat Sentol, tajuk tu Mat Sentalla,” ujarnya berseloroh.

Sementara itu, Rosli berkata, walaupun bapanya tidak pernah sakit terlantar seperti yang pernah dilaporkan.

Dia mengakui kecewa dengan perkongsian kurang tepat itu selain mengakui pemikiran, ingatan dan pendengaran ayahnya masih baik.

“Ramai yang tanya betul ke abah sakit kuat, saya sebagai anak sedih dan jadi marah. Sebenarnya dia masih boleh bangun dan berjalan, terlantar tu tiada tetapi biasalah sakit orang tua, pergerakan tidak seperti dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Khirul Nizam berkata, selain bantuan khas MAINJ bercadang memberikan bantuan bulanan untuk menampung perbelanjaan bulanan perubatan pelakon berkenaan. – JT

(Visited 12 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0