https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-1-1.jpg
in

KERJA ‘PART TIME’ SELUDUP ARAK

KERJA ‘PART TIME’ SELUDUP ARAK

ISKANDAR PUTERI – Dua lelaki yang bekerja secara ‘part time’ membawa arak seludup untuk dibekalkan kepada para peniaga di sekitar daerah ini menerima padah apabila mereka ditahan pagi ini.

Jenayah tersebut berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan dua lelaki yang berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kenderaan bertingkat di Block G, Regalia Park, Forest City di sini jam 6.30 pagi.

Namun, dalam serbuan berkenaan, seorang lagi rakan mereka berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan keretanya di kawasan berkenaan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, pada mulanya PPM membuat pemantauan di pesisir pantai Forest City, Tanjung Kupang di sini sebelum melihat tiga kenderaan itu yang dalam keadaan mencurigakan.
“Kenderaan itu masuk ke kawasan Regalia Park dan PPM kemudian berjaya menahan serta memeriksa tiga kenderaan tersebut. PPM menahan dua lelaki warganegara tempatan itu dan merampas 156 karton arak dipercayai tidak bercukai kastam.

“Pelbagai jenis minuman keras itu ditemukan di bahagian tempat duduk belakang dan ruang penyimpanan belakang kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Minuman keras yang dirampas itu bernilai RM121,582, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk tiga kenderaan jenis Mitsubishi Lancer, Hyundai Sonata dan Kia Cerato dianggarkan berjumlah RM381,582.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

Pihaknya kini memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri dan siasatan masih dilakukan dari mana arak seludup tersebut diperoleh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – JT

(Visited 14 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0