https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-2.jpg
in

KARTEL DAGING: KOMPLOT 19 SYARIKAT PENGEDAR

KARTEL DAGING: KOMPLOT 19 SYARIKAT PENGEDAR

JOHOR BAHRU – Sebanyak 19 buah syarikat disyaki berkomplot mengedar daging import sejuk beku dari Brazil menggunakan kotak berlogo halal bagi mengelirukan syarikat pembekal yang lain.

Namun, pakatan jahat itu terbongkar susulan Op Kartel Daging yang dijalankan pihak polis pada Jumaat lalu. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, syarikat pengimport terbabit telah mengedarkan lebih 1,000 tan metrik daging kepada 202 syarikat dan mengaut keuntungan sehingga RM52 juta setahun.  

Menurutnya, siasatan mendapati 19 syarikat itu telah berkomplot dengan sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku import yang sah sejak 2018 hingga tahun lalu. 

Dalam Op Kartel Daging oleh JSJ di seluruh negara itu, seramai 36 individu ditahan.

Katanya, dalam operasi tersebut, polis menahan seramai 34 pengarah syarikat dan dua pengurus syarikat yang terdiri daripada 26 lelaki dan 10 wanita berusia antara 28 hingga 67 tahun. 

“Hasil siasatan mendapati kesemua pengarah dan pengurus syarikat yang terlibat merupakan pelanggan pengimport daging sejuk beku yang sah dari Brazil. 

“Mengikut permit import, syarikat itu hanya layak untuk mengimport sebanyak 108 tan menggunakan empat permit dengan setiap satu permit hanya layak untuk mengimport sebanyak 27 tan sahaja. 

“Walau bagaimanapun syarikat ini didapati telah mengedar lebih daripada 1,000 tan metrik kepada 202 pelanggan yang dibuktikan melalui invois yang dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Huzir berkata, syarikat ini juga didapati menempah kotak berlogo halal untuk membungkus semula daging yang diimport dari Brazil dan daging dari syarikat tempatan bagi memenuhi permintaan pelanggan. 

“Siasatan mendapati kegiatan ini timbul isu keraguan status halal terhadap bekalan daging yang ada dalam pasaran.

“Daging yang dibungkus semula itu juga tidak dapat disahkan tahap kebersihan dan tidak diperakui oleh pihak veterinar,” katanya. 

Huzir berkata, polis akan meneruskan siasatan berkaitan isu kartel daging ini dan dijangka lebih ramai yang akan ditahan selepas ini. 

Polis masih meneruskan usaha memburu dua suspek utama lelaki, iaitu Tan Siew Huak berasal dari Ulu Tiram, dekat sini dan Wong Ah Kheong dari Kuantan, Pahang. – JT

(Visited 11 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0