https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-1.jpg
in

DATUK DIDAKWA ‘ROSAKKAN’ CUCU

DATUK DIDAKWA ‘ROSAKKAN’ CUCU

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas berusia 74 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap cucu perempuannya yang berusia lapan tahun pada 6 Mac lalu.

Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob dalam bahasa Mandarin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, Skudai di sini pada jam 6 petang.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah melalukan amang seksual terhadap mangsa dengan membuat kanak-kanak itu menyentuh mana-mana bahagian tubuh badan kanak-kanak itu sendiri.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual ke atas mangsa dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan ikat jamin ke atas tertuduh dengan alasan tertuduh dan mangsa tinggal di rumah sama kerana dibimbangi tertuduh akan mengganggu mangsa.

Wan Mohd. Norisham kemudian menetapkan tarikh 2 Jun untuk sebutan semula kes dan beliau turut meminta tertuduh mendapatkan khidmat peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong. – VOICE

(Visited 77 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0