https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-1-7.jpg
in

415 PELATIH PULAPOL KUCHING POSITIF #COVID19

415 PELATIH PULAPOL KUCHING POSITIF COVID-19

KUCHING: Seramai 295 lagi pelatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching disahkan positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan pelatih di pusat itu dijangkiti kini seramai 415 orang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata berikutan itu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di PULAPOL Kuching mulai hari ini hingga 29 April ini.

Beliau berkata, PKPD perlu dilaksanakan susulan peningkatan mendadak kes jangkitan di pusat latihan terletak di Jalan Puncak Borneo itu dan dikhuatiri menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.

“Semua pelatih yang dijangkiti dirawat di pusat latihan ini dan Jabatan Kesihatan Negeri sudah menubuhkan klinik kesihatan 24 jam serta Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di situ.

“Pengesanan kes secara aktif (ACD) juga dilaksanakan di kawasan itu pada 12 hingga 14 April lalu membabitkan seramai 633 orang, manakala ACD kedua pada 17 hingga 19 April dijangka membabitkan kira-kira 2,000 orang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas melawat Bilik Operasi PKPD di PULAPOL Kuching, di sini, hari ini.

Aidi berkata, seramai 20 tenaga pengajar dan ahli keluarga mereka turut didapati positif virus itu.

“Saya berharap dengan pelaksanaan PKPD, kita dapat mengekang penyebaran dan menurunkan angka jangkitan,” katanya.

Kes indeks jangkitan di PULAPOL Kuching membabitkan seorang pelatih yang menjalani ujian swab di Klinik Kesihatan Kota Sentosa pada 9 April lalu.

Pelatih berasal dari Perlis itu disahkan positif pada 12 April dan pada 13 April lalu sekumpulan 61 pelatih disahkan dijangkiti virus berkenaan. – BH

(Visited 16 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0