https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-21.jpg
in

200 PETUGAS MARITIM PANTAU PERAIRAN JOHOR SEMASA RAMADAN, AIDILFITRI

200 PETUGAS MARITIM PANTAU PERAIRAN JOHOR SEMASA RAMADAN, AIDILFITRI

Oleh Abu Hanifah Muhamad

KOTA TINGGI – Seramai 200 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor akan bertugas untuk mengawal perairan negeri ini sepanjang Ramadan dan semasa Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, anggota itu yang turut terlibat dalam Ops Jangkar Haram dan Ops Benteng dibuat secara penggiliran.

“Kita masih mengekalkan momentum operasi yang sama dengan menggerakkan aset-aset secara optimum pada bulan puasa dan Hari Raya.

“Selain bertugas ketika situasi COVID-19 ini, kami juga melakukan penguatkuasaan bagi membanteras isu penyeludupan dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kapal berlabuh secara haram,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama-sama media di atas kapal KM Perwira di perairan Johor Timur, di sini malam tadi.

Sebelum majlis berkenaan, pengamal media dibawa untuk melihat sendiri tinjauan penguatkuasaan Maritim Malaysia ketika Ramadan.
Dalam perkembangan lain, Nurul Hizam berkata, sebanyak 55 kapal yang berlabuh secara haram ditahan di perairan negeri ini sejak Ops Jangkar Haram dilaksanakan pada 23 Mac hingga semalam.

Menurutnya, antara lokasi panas untuk kapal ini berlabuh secara haram adalah di perairan Tompok Utara Johor kerana mengambil kira kedalaman kawasan yang kurang 60 meter.

“Semua kapal ini hanya akan dilepaskan untuk berlayar setelah membayar denda yang dikenakan di bawah Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia,” katanya. – JT

(Visited 8 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0