https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-10.jpg
in

2 PENUNTUT ANTARA 10 TERBAIK DUNIA

2 PENUNTUT ANTARA 10 TERBAIK DUNIA

KUALA LUMPUR: Perlu belajar dengan pelbagai inisiatif sendiri membuahkan hasil bagi dua pelajar apabila berjaya menempatkan diri antara 10 terbaik di dunia menerusi peperiksaan The Association of Charted Certified Accounts (ACCA) bagi sesi Mac 2021.

Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, dari Kuala Berang, Terengganu mendapat tempat pertama di Malaysia dan ke tujuh di dunia bagi peperiksaan Strategic Business Reporting (SBR).

Siti Naziah Mohamad Nazid, 21, dari Taiping, Perak pula mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat ke sembilan di dunia bagi peperiksaan Audit & Assurance (AA).

Kedua-dua pelajar di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu adalah antara seramai 92,000 calon di seluruh dunia yang menduduki peperiksaan itu.

Nurul Fatin Nabihah yang menerima tajaan daripada Yayasan Sime Darby, berkata banyak cabaran dihadapi berikutan perlu mengikuti kelas secara dalam talian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terutama masalah talian internet.

Bagaimanapun, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, pensyarah banyak membantu termasuk berusaha merekod video untuk memastikan pelajarnya faham apa yang diajar.

“Untuk lebih memahami apa yang diajar saya turut mencari inisiatif, menonton video pendek mengenai pelajaran yang terdapat di Youtube. Belajar cara ini amat berkesan kerana jika hanya membaca akan berasa bosan terutama apabila berseorangan, berbanding belajar di dalam kelas yang ada ramai kawan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Graduan Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, dia bersyukur apabila satu lagi kertas peperiksaan iaitu Advanced Taxation (ATX) juga lulus dan berharap dua lagi peperiksaan akan datang berjaya sebelum dijangka tamat pengajian pada September 2021.

Katanya, selepas tamat pengajian pada Januari 2020 lalu, dia terus mendapat kerja sebagai akauntan di sebuah syarikat di Terengganu namun berasakan perlu menambahkan lagi kemahiran dan memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam ACCA.

“Selepas tamat ACCA saya mahu mencari pengalaman bekerja dalam pengauditan atau percukaian terlebih dahulu sebelum berhasrat menjadi Pensyarah Perakaunan,” katanya.

Siti Naziah ketika dihubungi berkata, dia tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang kerana pada mulanya dia merasa hampir putus asa apabila gagal dalam dua ujian yang diberikan oleh pihak kolej.

Akuinya, dia beras sedikit tertekan kerana perlu belajar secara dalam talian berikutan berdepan kesukaran untuk memahami apa yang diajar pensyarah berbanding jika belajar di dalam kelas.

“Saya hampir mengalah ketika itu, tetapi berkat dorongan dua rakan baik Syaza Syariah Eddy Syazri dan Noor Syafiqah Mohd Tarmizi saya bangkit semula.

“Hampir setiap hari kami bertiga akan belajar secara berkumpulan menerusi panggilan video kerana masing-masing tinggal jauh, namun dengan cara ini kami dapat memberi lebih tumpuan,” katanya yang bercita-cita menjadi Akauntan Bertauliah.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, sebaik menerima keputusan pada minggu lalu, dia amat terkejut dan tidak menyangka berjaya mendapat keputusan cemerlang.

Siti Naziah yang dijangka menamatkan pengajian pada Mac 2022, berkata dua rakannya turut mendapat keputusan baik hasil belajar bersama menerusi panggilan video. – BH

(Visited 17 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0