https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/04/111-25.jpg
in

2 BOT BAWA KELAPA KARAM, 4 JAM TERAPUNG

2 BOT BAWA KELAPA KARAM, 4 JAM TERAPUNG

JOHOR BAHRU – Seramai 10 kru warga Indonesia berdepan detik cemas apabila dua bot ‘barter trade’ yang dinaiki mereka karam dipukul ombak di dua lokasi di perairan Pulau Pisang, semalam.

Mujur, mereka sempat diselamatkan oleh bot lain yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat tentang kejadian itu daripada Zon Maritim Batu Pahat yang karam di kedudukan 5.6 dan 15.3 batu nautika barat daya Pulau Pisang.

Menurutnya, kedua-dua bot itu membawa muatan kelapa bulat dalam perjalanan dari Pelabuhan Sungai Guntung, Indonesia menuju ke Batu Pahat.

“Semasa dalam perjalanan, berlaku cuaca buruk serta hujan lebat serta ombak kuat. Bot ‘barter trade’ pertama yang membawa enam kru lelaki warga Indonesia telah karam, namun kesemua kru berjaya diselamatkan nelayan tempatan yang berada berhampiran.

“Mereka kemudiannya dibawa ke Jeti Pontian Kecil, manakala empat kru lelaki warga Indonesia dari bot kedua diselamatkan bot ‘barter trade’ lain yang berada di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Maritim Malaysia kemudian menggerakkan Bot Kilat 13 ke lokasi kejadian untuk mengambil empat mangsa di bot kedua yang kemudiannya dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Kesemua 10 mangsa yang selamat berusia dalam antara 27 hingga 53 tahun dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semasa kejadian enam daripada mereka terpaksa berdiri atas bumbung bot menanti diselamatkan selama kira-kira empat jam. Namun selepas itu kedua-dua bot berkenaan tenggelam sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa membawa dan memakai jaket keselamatan ketika berada di laut dan digalakkan membawa Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.

Sebarang laporan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut katanya, segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-2199404 atau talian kecemasan MERS 999. – JT

(Visited 11 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0