in

TAMRIN DIDAKWA HINA TMJ

https://www.johortimes.my/wp-content/uploads/2021/03/1-3.jpg

TAMRIN DIDAKWA HINA TMJ

JOHOR BAHRU – Anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Tamrin Abdul Ghafar, 71, dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan membuat penghinaan terhadap kerabat Diraja Johor.

Walau bagaimapun, tertuduh yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Mohd. Tamrin didakwa menggunakan aplikasi blog ‘tamrintunghafar’ pada pautan tamrintunghafar.blogspot.com secara sedar membuat komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Selain itu blog berkenaan juga boleh dibaca menerusi laman Facebook Dato’ Tamrin Tun Abdul Ghafar.

Lampiran yang disertakan bersama pertuduhan berkenaan membabitkan artikel bertajuk ‘TMJ – Bodoh Sombong Yang Tak Boleh Diajar’ dengan mengaitkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selain Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Anak Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba itu didakwa melakukan kesalahan di Kota Southkey, di sini kira-kira pukul 7 malam pada 2 Februari lalu.

Mohd. Tamrin yang juga Bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Jenayah dan Ketenteraman Awam, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd. Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Yusaini memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, namun Muhammad Rafique memohon mahkamah menetapkan jaminan tidak lebih RM5,000 atas alasan anak guamnya merupakan seorang penganggur ketika ini.
Selain itu, Muhammad Rafique berkata, anak guammnya baru menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dan perlu membuat rawatan susulan setiap bulan.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei depan bagi sebutan semula dan penyerahan dokumen. – JT

(Visited 98 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0