https://www.johortimes.my/wp-content/uploads/2021/03/fgv.png
in

FELDA MILIKI 77% FGV

FELDA MILIKI 77% FGV

KUALA KUBU BHARU: FELDA kini menguasai 77 peratus saham FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV), selari pelan pemulihan kerajaan terhadap badan berkanun itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata FELDA juga memerlukan sekurang-kurangnya 13 peratus lagi saham FGV untuk menyahsenaraikan syarikat perladangan itu daripada Bursa Malaysia.

Beliau berkata jumlah pegangan saham FGV penting dalam usaha memantapkan FELDA.

“Daripada pemilikan saham 34 peratus, FELDA kini sudah membeli saham FGV sebanyak 77 peratus. Ia sebahagian pelan kerajaan untuk memulihkan dan memantapkan FELDA.

“Kerajaan juga sudah meluluskan penerbitan sukuk yang dijamin berjumlah RM9.9 bilion, iaitu sebanyak tiga kali, bermula hujung bulan ini. Ini mampu mengurangkan beban hutang FELDA dan peneroka memperoleh faedah,” katanya dalam lawatan ke Projek Gedung Makanan Negara di Felda Sungai Tengi Selatan, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Besar FELDA, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.

Mustapa (kiri) melihat buah tin ketika melawat projek penanaman buah tin di Tapak Projek Gedung Makanan Negara Felda Sungai Tengi Selatan, Kuala Kubu Bharu, hari ini. – Foto BERNAMA
Mustapa (kiri) melihat buah tin ketika melawat projek penanaman buah tin di Tapak Projek Gedung Makanan Negara Felda Sungai Tengi Selatan, Kuala Kubu Bharu, hari ini. – Foto BERNAMA
Mengulas langkah pengambilalihan sepenuhnya FGV yang berakhir 15 Mac ini, Mustapa berkata mereka masih mempunyai peluang sekiranya pemilik saham mahu meneruskan penjualan saham.

Dalam perkembangan itu, Amiruddin berkata, usaha pengambilalihan sepenuhnya FGV akan diteruskan walaupun tempoh pengambilahan FGV berakhir seminggu lagi.

“Kita masih berharap dan menunggu mana-mana pemegang saham yang lain untuk bertindak.

“Walaupun tarikh ini berakhir, tidak bermakna saham ini tidak lagi boleh dibeli, ia boleh dilakukan juga selepas itu,” katanya.

Sebelum ini, FELDA dilaporkan memperoleh 22 juta saham FGV di pasaran terbuka dengan harga RM28.38 juta, iaitu RM1.29 sesaham pada 13 Januari lalu.

Pada 12 Januari lalu, FELDA mengeluarkan dokumen berkaitan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi baki saham di FGV tidak dimilikinya, kecuali saham perbendaharaan.

Tawaran RM1.30 sesaham dibuka untuk penerimaan hingga jam 5 petang pada 2 Februari lalu, melainkan dilanjutkan atau disemak semula dengan pengumuman akan dibuat Maybank IB, dua hari sebelum tarikh tutup.

Pada 8 Disember lalu, FELDA yang sudah memiliki 21.24 peratus saham dalam FGV, meningkatkan pegangannya dalam syarikat itu kepada 35.12 peratus.

Sebanyak 13.88 peratus saham sudah diperoleh, iaitu 6.1 peratus daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (7.78 peratus). – BH

(Visited 17 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0