in

TERIMA VAKSIN SINOVAC SABTU INI

https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/02/21.jpg

TERIMA VAKSIN SINOVAC SABTU INI

KUALA LUMPUR: Malaysia dijadual menerima vaksin Sinovac dari China, pada Sabtu ini.

Ia adalah jenama kedua bagi vaksin COVID-19 dalam tempoh seminggu selepas Pfizer-BioNTech, sekali gus memperkukuh laluan pemulihan ekonomi negara ini.

Vaksin Sinovac yang juga dikenali sebagai CoronaVac, diperoleh menerusi perjanjian bekalan meliputi sebanyak 14 juta dos yang dimeterai antara Pharmaniaga Bhd dan syarikat farmaseutikal China, Sinovac Life Sciences Co Ltd.

Bercakap kepada Bernama, Pengerusi Pharmaniaga, Datuk Dr Hafsah Hashim, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 12 juta dos akan dibekalkan kepada Kementerian Kesihatan manakala baki dua juta dos disalurkan kepada hospital swasta dengan keseluruhan usaha itu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Katanya, vaksin yang dibawa dengan pesawat khas kendalian pengangkut kargo Malaysia, MAB Kargo Sdn Bhd, dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9 pagi.

Antara kenamaan yang dijangka hadir menyambut vaksin itu di KLIA ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong selain Duta Besar China Malaysia Ouyang Yujing serta ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Malaysia telah bermula pada 24 Februari, 2021 dengan keutamaan membabitkan petugas barisan hadapan.

Hafsah berkata, vaksin CoronaVac itu akan turut diiringi oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia ke kilang berteknologi tinggi milik Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh Pharmaniaga di Puchong, Selangor.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan mengikut perancangan. Memandangkan Pharmaniaga adalah syarikat milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), maka pasukan keselamatan akan mengendalikan keadaan sewajarnya dan menyediakan aspek keselamatan yang diperlukan.

“Kami turut mendapat sokongan penuh daripada pihak Kedutaan China bagi membawa masuk vaksin itu ke negara ini. Pada masa sama, kemudahan kilang kami turut dipertingkat sepenuhnya (bagi menyediakan kelengkapan untuk vaksin),” katanya.

Mengikut perjanjian itu, Pharmaniaga akan melakukan proses ‘fill and finish’ atau pengisian/pembotolan dan akhir vaksin CoronaVac itu.

Dalam kenyataan sebelum ini, syarikat itu berkata ia mempunyai kapasiti proses bagi dua juta dos sebulan dan vaksin itu adalah yang pertama akan dikeluarkan di negara ini.

Mengulas perkembangan terkini mengenai status pendaftaran pembekalan vaksin CoronaVac di Malaysia, Hafsah berkata kelulusan daripada pihak Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan mungkin diberikan seawal Mac ini.

“Kami berharap untuk mendapat kelulusan itu dalam tempoh satu, dua minggu ini. Setelah diluluskan, kami akan segera melaksanakan (pengedaran) vaksin itu ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata vaksin itu juga disifatkan sebagai halal atau dibenarkan di bawah Undang-undang Islam oleh Majlis Ulama Indonesia, malah Pharmaniaga sedang dalam proses mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hafsah turut memberi jaminan bahawa kilang pembuatan Pharmaniaga telah disahkan halal oleh JAKIM dan yakin vaksin itu akan menerima pensijilan halal tidak lama lagi.

Sebelum ini, Presiden Indonesia Joko Widodo, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha dan Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam adalah antara pemimpin awal yang telah menerima vaksin itu.

Di peringkat tempatan pada Rabu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan menjadi individu pertama di negara ini yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 8 Januari lalu.

Menurut Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Khas bagi Memastikan Akses kepada Bekalan Vaksin COVID-19, keberkesanan vaksin adalah dalam jajaran 50.4 peratus hingga 91.25 peratus.

Setiap individu memerlukan dua dos vaksin CoronaVac dengan berselang 14 hari antara dos pertama dan kedua untuk memastikan keberkesanannya manakala suhu penyimpanan vaksin itu adalah pada 2-8 darjah Celsius.

CoronaVac adalah vaksin tidak aktif yang menggunakan zarah dimatikan bagi mencetuskan tindak balas imun badan terhadap virus dan kaedah lazim dalam vaksin penyakit seperti polio serta sesuai bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah. – BERNAMA

(Visited 38 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0