https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/02/11.jpg
in

PENGUSAHA BAS, VAN SEKOLAH IBARAT ‘MATI HIDUP SEMULA’

PENGUSAHA BAS, VAN SEKOLAH IBARAT ‘MATI HIDUP SEMULA’

JOHOR BAHRU – Pengusaha bas dan van sekolah di negeri ini bimbang pendapatan mereka terjejas susulan kerisauan ibu bapa menggunakan perkhidmatan itu pada pembukaan sesi persekolahan 1 Mac ini.

Rata-rata pengusaha bas dan van sekolah mendakwa pendapatan mereka terjejas kira-kira 50 peratus berikutan segelintir ibu bapa tidak mahu menggunakan perkhidmatan tersebut.

Seorang pengusaha, Saisnorfariza Isnin, 27, berkata, ibu bapa bimbang dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksanakan pengusaha bas dan van sekolah yang biasanya padat dengan penumpang.

“Walaupun sekolah akan dibuka, berdasarkan permintaan, penumpang sangat berkurangan dan dijangka merosot hingga 50 peratus.

Ini kerana ibu bapa masih tidak yakin menggunakan perkhidmatan van dan bas sekolah walaupun kita ada buat sanitasi sendiri.

“Ramai ibu bapa ambil keputusan hantar anak sendiri ke sekolah. Kita mempunyai lima van dan dua bas sekolah, kita kena kejar trip lepas ini kerana jumlah penumpang sudah terhad. Walaupun begitu tambang masih kekal.

“Namun, kita bersyukur kerana kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah pada bulan depan.

Ini umpama ‘mati hidup semula’ bagi pengusaha bas dan van sekolah,” katanya selepas program Semburan Disinfeksi Percuma Pandu Lalu Bas Sekolah Sempena Kempen Jom Cegah COVID-19 di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Daya 2 di sini hari ini.

Program berkenaan dianjurkan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Johor yang disempurnakan oleh Presiden MTPN, Datuk Dr. Kevy KV Yeo.

Seorang lagi pengusaha bas, Hui Hai Lae, 35, berkata, perniagaan mereka yang mempunyai 10 van dan bas sekolah dijangka terjejas kira-kira 40 peratus kerana ibu bapa masih tidak yakin menggunakan perkhidmatan mereka.

“Ada ibu bapa yang mengambil sikap tunggu dan lihat dalam masa seminggu selepas persekolahan bulan depan, jika semuanya berjalan lancar barulah mereka akan menggunakan perkhidmatan kami,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MTPN Johor, Noorman Kamsani berkata, pihaknya memberikan perkhidmatan sanitasi van dan bas secara percuma secara pandu lalu bagi membantu pengusaha melakukan persiapan sebelum pembukaan sekolah.

“Usaha ini kita lakukan bagi mengembalikan semula keyakinan ibu bapa dalam menggunakan perkhidmatan van dan bas sekolah.

“Proses sanitasi ini akan bertahan dalam dua hingga tiga minggu..selepas ini kita juga akan sumbang kira-kira dua hingga tiga mesin sanitasi kepada persatuan bas dan van sekolah mengikut kawasan jadi mereka boleh buat sendiri selepas ini,” ujarnya.

Pihak MTPN juga berhasrat untuk meneruskan insiatif tersebut di semua kawasan Parlimen seluruh Johor dalam masa terdekat. – JT

(Visited 15 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0