https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/02/3.jpg
in

JEREBU DATANG LAGI?

JEREBU DATANG LAGI?

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak dijangka menerima tempias pencemaran udara termasuk jerebu akibat kebakaran hutan di Wilayah Riau, Indonesia dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang susulan corak tiupan angin Timur Laut ketika ini menuju ke arah lain, bukan ke negara ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jailan Simon, berkata jika kebakaran hutan di republik itu berlarutan lebih lama, berkemungkinan jerebu rentas sempadan akan berlaku di negara ini seawal Jun atau Ogos ini.

“Kebakaran (hutan) di Riau rasanya tidak ada beri kesan jerebu kepada negara kita sebabnya angin tak bertiup ke arah kita (Malaysia), masih lagi Timur Laut. Ia (asap) menghala ke tempat lain.

“Hingga Mei atau Jun, tak perlu bimbang dari segi jerebu rentas sempadan. Tetapi kita kena juga lihat jerebu tempatan yang berpunca di negara kita sendiri.

“Tetapi apabila masuk Jun, Julai atau Ogos …kalau masih berlaku kebakaran di negara berkenaan kemungkinan berlaku jerebu di tempat kita (Malaysia),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai jerebu tempatan, Jailan berkata, kebakaran di kawasan pertanian boleh menyumbang perkara itu. Baru-baru ini berlaku kebakaran di kawasan pertanian di Johan Setia di Klang, Selangor namun setakat ini masih terkawal.

“Buat masa sekarang kena pantau kebakaran di negara kita yang sedang menghadapi musim kering. Di utara tak teruk sangat tetapi di Lembah Klang berlaku dekat Johan Setia membabitkan kawasan pertanian.

“Kebakaran di Johan Setia berlaku beberapa hari lalu. Setakat ini terkawal dan kebakaran sudah dipadam. Namun, ia masih perlu dipantau. Saya nasihat agar jangan buat kebakaran terbuka,” katanya.

Gambar fail 24 September 2019 menunjukkan kebakaran hutan di sebuah kampung di Pekanbaru, Riau, Indonesia. – Foto AFP 
Gambar fail 24 September 2019 menunjukkan kebakaran hutan di sebuah kampung di Pekanbaru, Riau, Indonesia. – Foto AFP
Media hari ini melaporkan beberapa daerah di Wilayah Riau, Indonesia menaikkan status amaran kebakaran hutan dan belukar ketika sejumlah tompok panas dikesan sejak awal tahun ini.

Ia membabitkan daerah Bengkalis, Siak, Pelalawan, Rokan Hilir, Pulau Merati serta bandar Dumai yang terletak di kawasan pantai timur wilayah itu yang bersempadan Selat Melaka.

Status amaran itu berkuat kuasa hingga 21 Oktober.

Pada 15 Februari lalu, MET Malaysia meramalkan fenomena cuaca panas yang dialami ketika ini dijangka berterusan hingga pertengahan Mac 2021. – BH

(Visited 44 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0