https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/02/20.jpg
in

IBU BAPA DIBENAR HANTAR ANAK KE ASRAMA

IBU BAPA DIBENAR HANTAR ANAK KE ASRAMA

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka pulang ke asrama hanya perlu mengemuka surat yang dikeluarkan oleh sekolah kepada anggota polis, ketika melalui sekatan jalan raya, bagi merentas daerah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Teknikal yang bersetuju untuk memberikan kelonggaran kepada ibu bapa untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu lagi memohon surat kebenaran daripada polis.

“Mesyuarat Teknikal setuju beri kelonggaran kepada ibu bapa untuk rentas negeri bagi hantar anak ke sekolah atau asrama, bagi sesi persekolahan yang akan bermula pada 1 Mac 2021.

“Mesyuarat juga setuju ibu bapa yang hantar anak mereka tidak perlu lagi mendapatkan surat kebenaran polis, namun hanya perlu tunjuk surat dikeluarkan sekolah ketika melalui sekatan jalan raya.

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan saya baru bercakap dengan pegawai tertinggi PDRM bahawa perkara ini dimaklumkan polis di setiap daerah seluruh negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Dengan kelonggaran itu, Ismail Sabri berharap tidak akan timbul isu membabitkan ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka di luar daerah ketika perlu melalui sekatan jalan raya.

“Saya jangka tak ada isu di kawasan atau sekatan jalan raya apabila ibu bapa hantar anak mereka pulang ke sekolah,” katanya.

Jumaat lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk murid sekolah rendah iaitu prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2, manakala murid Tahun 3 hingga Tahun 5 pula bermula 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April manakala pelajar bagi Kumpulan B merangkumi Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula pada 5 April. – BH

(Visited 24 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0