https://www.johortimes.my/wp-content/uploads/2021/02/tampar.jpg
in

DIJEL LAGI AKIBAT TAMPAR, MAHU BUNUH IBU

DIJEL LAGI AKIBAT TAMPAR, MAHU BUNUH IBU

KUALA LUMPUR: Seorang penagih dadah yang baru dua minggu keluar penjara kerana mengugut ibunya, dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mencederakan ibunya itu dengan menamparnya sehingga patah gigi dan mengugut mahu membunuh wanita terbabit.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Azli Rahim, 41, selepas dia mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dihadapinya dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 13 Februari lalu.

Aina Azahra menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara serentak iaitu lima bulan saja.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd Azli didakwa mencederakan ibunya, Rohani Sulaiman, 65, dengan menampar muka dan paha wanita itu serta mengugut mahu memukul dan membunuh mangsa, di Perumahan Pantai Permai, Jalan Pantai Dalam, Brickfields di sini, kira-kira jam 10 pagi, 13 Februari lalu.

Bagi pertuduhan mencederakan, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan mengugut pula, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Difahamkan, tertuduh bertindak demikian selepas ibunya enggan memberikan wang diminta untuk membeli dadah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal memandangkan tertuduh baru saja keluar penjara pada 2 Februari lalu atas kesalahan mengugut ibunya pada 21 Ogos 2020, selain mempunyai rekod kes dadah, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan. – BERNAMA

(Visited 42 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0