https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/02/19.jpg
in

BUKU TEKS SEJARAH TINGKATAN 4 PATUHI SEMUA PROSES PENERBITAN

BUKU TEKS SEJARAH TINGKATAN 4 PATUHI SEMUA PROSES PENERBITAN

PUTRAJAYA: Buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 sudah mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku teks, termasuk ketepatan fakta, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

“Proses penerbitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah melalui proses kawalan mutu yang ketat,” kata KPM dalam kenyataan, hari ini, susulan desakan beberapa pihak agar buku teks Sejarah Tingkatan 4 diharamkan kerana didakwa memanipulasikan fakta selain diisi dengan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Proses kawalan mutu itu merangkumi pemetaan kandungan, penulisan manuskrip, penyediaan dan penyemakan pruf muka surat, naskhah sedia kamera, pemerakuan naskhah sedia kamera, naskhah contoh, apresiasi kulit buku teks dan kelulusan naskhah contoh bagi menyediakan naskhah edar, katanya.

Proses itu membabitkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, Jawatankuasa Peningkatan Mutu Buku Teks, Jawatankuasa Pembaca Luar dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal 4 KPM, katanya.

“Bagi mewasitkan fakta tertentu, KPM mendapatkan pengesahan fakta sejarah dan kandungan daripada agensi kerajaan yang terbabit seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Setiausaha Kerajaan Negeri,” menurut kenyataan itu.

KPM berkata, penerbitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 adalah berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM Sejarah Tingkatan 4 serta mengikut prosedur operasi standard Penerbitan Buku Teks KPM yang dikemas kini pada 2018.

Menurut KPM, DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM pada 24 April 2018.

“Mereka adalah pakar sejarah seramai tujuh orang daripada pelbagai pengkhususan dan kaum. Kandungan DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 adalah berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011-2012),” menurut kenyataan itu.

KPM berkata, pemilihan penulis buku teks pula adalah berdasarkan Tatacara Penerbitan Pakej Buku Teks Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengikut kriteria khusus iaitu mempunyai latar belakang pendidikan sejarah serta berpengalaman menulis buku teks Sejarah.– BERNAMA

(Visited 15 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0