in

UMNO PULAI TOLAK KERJASAMA DENGAN PN

UMNO PULAI TOLAK KERJASAMA DENGAN PN

JOHOR BAHRU 010121 – UMNO Bahagian Pulai akan mengusulkan agar parti politik terbesar tanah air itu menolak sebarang kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua Bahagiannya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hal itu kerana hubungan antara kedua-dua pihak dilihat berada pada tahap amat rapuh.

Ujarnya, ketika ini tiada kepercayaan yang terjalin antara mereka, sama ada di peringkat pusat mahupun akar umbi.

“Kerjasama yang terjalin bersama PN ketika ini adalah melibatkan kapasiti Ahli Parlimen UMNO dan bukannya parti, dan ia juga hanya sehingga PRU dilaksanakan.

“Ketika ini juga dilihat tiada sebarang kepercayaan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bagaimana parti kecil boleh merasakan mereka abang kepada parti yang lebih besar.

“Kerajaan sedia ada ketika ini juga hanya memiliki majoriti lebih dua kerusi, dimana lebih daripada 30 kerusi datangnya daripada Ahli Parlimen UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Tambah beliau, dalam pentadbiran kerajaan PN ketika ini, apabila kerajaan melakukan perkara yang baik, UMNO tidak mendapat sebarang pujian, namun apabila kerajaan membuat perkara yang tidak baik, UMNO akan terpalit.

“Usul sedemikian akan turut dibuat di peringkat UMNO bahagian lain bukan sahaja di Johor, tetapi di seluruh negara.

“Ahli Majlis Tertinggi UMNO kemudian akan membuat ketetapan berhubung perkara itu selewat-lewatnya pada Mac tahun ini,” ujarnya sambil memberitahu sekiranya keputusan adalah untuk menolak kerjasama dengan PN, PRU dijangka diadakan dalam waktu terdekat.

Sementara itu, beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor turut memberitahu, pihaknya juga berharap kerjasama antara UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) turut dikaji semula.

Katanya, hal itu bagi memastikan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua parti Melayu itu dapat memberi manfaat menjelang PRU akan datang. – UTUSAN ONLINE

(Visited 46 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0