https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/06/111-4.jpg
in

TRAGEDI FERI: PIKAP DIPERCAYAI HILANG KAWALAN, TERHUMBAN KE SUNGAI

TRAGEDI FERI: PIKAP DIPERCAYAI HILANG KAWALAN, TERHUMBAN KE SUNGAI

SRI AMAN: Tragedi kenderaan pacuan empat roda meragut nyawa sembilan sekeluarga selepas terjunam ke dalam sungai di pangkalan feri Triso, Maludam, petang semalam, dipercayai berpunca daripada pemandunya hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan, Bingkok John, berkata keadaan itu menyebabkan pacuan empat roda terbabit terbabas sebelum tergelongsor dari tanjakan lalu terhumban ke Sungai Batang Lupar.

“Kita menerima panggilan berhubung kejadian ini sekitar jam 3.21 petang. Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati pemandu bersama lapan penumpang dalam perjalanan dari arah Kapit menghala ke Kuching menggunakan jalan Beladin, Maludam.

“Ketika sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu gagal mengawal pergerakan kenderaan menyebabkan kenderaan terbabas dan menggelongsor jatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pacuan empat roda terbabit berjaya diselamatkan daripada tenggelam dan diikat menggunakan rantai besi dan tali oleh orang ramai.

“Kesemua sembilan mangsa terlibat termasuk pemandu berjaya dikeluarkan dari kenderaan yang terjunam di dalam sungai.

“Mereka yang tidak sedarkan diri dibawa orang ramai ke Klinik Beladin,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pembantu perubatan Klinik Beladin, mengesahkan kesemua mangsa telah meninggal dunia.

“Semasa kejadian berlaku keadaan sungai Batang Lupar surut dan cuaca adalah baik.

“Tiada feri berada di pangkalan feri Triso, Maludam semasa kejadian berlaku dan pada masa terbabit feri sudah bergerak menghala ke pangkalan feri Sebuyau,” katanya.

Katanya, memandangkan kejadian yang berlaku menjurus kepada kemalangan jalan raya (terbabas sendiri) siasatan akan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, kesemua mangsa di bawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Dalam kejadian petang semalam, kesemua sembilan mangsa iaitu lima lelaki dan empat perempuan meninggal dunia dalam kejadian itu.

Mangsa dikenali Ronany Ting, 33, (pemandu), Siti Aisha Abdullah,36, bayi lelaki berusia empat bulan Mohd Ahmad Mohd Hamdan, Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5, Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, Wallace Phang,7, Alvin Phang,12, Khairunnisa Muhamad,14, dan Nor Shuhada Mohamad,16. – BH

(Visited 7 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0