in

STAF PEJABAT HUTAN JERANTUT MANGSA PERTAMA BANJIR PAHANG

STAF PEJABAT HUTAN JERANTUT MANGSA PERTAMA BANJIR PAHANG

JERANTUT: Kakitangan Pejabat Hutan Daerah Jerantut menjadi korban pertama banjir yang melanda negeri ini sejak Sabtu lalu.Mangsa, Zulkarnain Hitam, 58, ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi laluan dinaiki air di Sungai Puas, dekat Kampung Gintong Tebing Tinggi, kira kira 16 kilometer dari sini bersama tiga lagi anaknya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1 pagi dan operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan sebaik laporan diterima.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis dengan kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta orang kampung cuba mengesan mangsa dan anaknya yang dilaporkan hilang.

“Dua anak mangsa berusia 13 dan 15 tahun ditemui selamat, manakala seorang lagi anak mangsa dikenali sebagai Ukai Iskandar berusia 23 tahun yang masih belajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP) belum dapat dikesan.

“Mayat Zulkarnain ditemui kira-kira jam 2 pagi tadi dan dihantar ke Hospital Jerantut bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Difahamkan kemalangan itu berlaku apabila Zulkarnain bersama Ukai Iskandar, Usyair Iskandar, 13 dan Umar Iskandar, 15 cuba merentasi laluan berkenaan untuk kembali ke kediaman lama mereka selepas kebanyakan laluan biasa digunakan terputus akibat banjir.

Katanya, usaha mencari dijalankan penduduk kampung dengan menggunakan dua bot gentian kaca namun sehingga kini gagal ditemui.

Operasi mencari Ukai Iskandar terpaksa dihentikan pada 3.30 pagi ekoran cuaca yang semakin buruk dan disambung semula jam 9 pagi tadi. – BH

(Visited 61 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0