in

@SPRMMalaysia TURUT SIASAT KARTEL DAGING

@SPRMMalaysia TURUT SIASAT KARTEL DAGING

ALOR SETAR 010121 – Kerajaan akan menjalankan siasatan sehingga ke akar umbi, berhubung isu kartel daging haram membabitkan agensi penguat kuasa berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata siasatan mengenai perkara itu masih berjalan dan kerajaan belum menerima laporan mengenainya.

“Saya difahamkan pihak berkuasa sudah mengambil tindakan untuk membuat siasatan sehingga ke akar umbi, antara kementerian terbabit iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri kerana ia membabitkan sijil halal.

“Siasatan dibuat berdasarkan perundangan menjuruskan ke arah keperluan perundangan ‘Requirement of Law’, sekiranya ada pelanggaran peruntukkan undang-undang, tindakan akan diambil mengikut undang-undang itu, jadi kita tunggu laporan siasatan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian cek sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan di Kedah, hari ini.

Takiyudin yang juga Menteri Penyelaras Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah, berkata pihaknya yakin isu kartel daging haram ini menjadi isu yang sangat besar dan pengumuman rasmi hasil siasatan akan dilakukan oleh menteri-menteri berkaitan.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri akan mengumumkan mengenai perkara itu.

“Buat masa ini saya tidak boleh komen lanjut mengenainya, kita tunggu hasil siasatan,” katanya.Selasa lalu, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu itu membabitkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.

Setakat ini, polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan selepas media melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari beberapa negara sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor. – BH

(Visited 41 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0