https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/06/111-15.jpg
in

PAS JOHOR SARAN 5 CADANGAN BANTERAS JUDI

PAS JOHOR SARAN 5 CADANGAN BANTERAS JUDI

JOHOR BAHRU – Pas Johor memberikan lima cadangan untuk membanteras kegiatan judi secara menyeluruh di negeri ini.

Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, pertama tiada pembaharuan lesen judi dan kedua tiada pemberian lesen judi yang baharu.

“Begitu juga menutup pusat judi yang ingkar arahan dan melanggar peraturan. Keempat mengambil tindakan lebih tegas terhadap orang Islam yang berjudi.

“Terakhir adalah manfaatkan media kerajaan untuk mendidik rakyat secara kerap tentang haram dan mudarat berjudi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong mencadangkan kerajaan mengurangkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan 4D.

Chin Tong dimaklumkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan 4 digit daripada lapan kali pada tahun 2020 kepada 22 kali pada tahun 2021.

Rusman berkata, Pas Johor bertegas agar kerajaan negeri membenteras semua aktiviti perjudian kerana tidak membawa sebarang kebaikan malah tiada agama di dunia membenarkan penganutnya mengamalkan judi.

“Cadangan ini sebagai bukti kelesterian Pas istiqamah membenteras semua aktiviti perjudian yang merosakkan rakyat secara halus.

“Menjadi parti yang membentuk kerajaan hari ini seharusnya memberi ruang lebih besar untuk Pas merealisasikan impian dan cita-cita membersihkan negara dan rakyat daripada terus terjebak, terjerumus dan terperangkap dengan judi,” katanya.

Justeru, Pas Johor menyeru dan mengajak semua rakyat bersama-sama berganding bahu membantu kerajaan dan penguat kuasa untuk membenteras dan menghapus judi dan pada masa sama mendidik masyarakat. 

Usaha mulia berkenaan memerlukan sokongan segenap lapisan tanpa mengira agama dan bangsa. 

“Pas juga berkeyakinan keterlibatan dan penggemblengan tenaga daripada semua termasuk agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan akan memastikan Bangsa Johor bebas judi,” katanya. – JT

(Visited 9 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0