https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/06/111-8.jpg
in

MOHON MAAF, TARIK BALIK ATAU SEDIA DISAMAN – WAN SAIFUL

MOHON MAAF, TARIK BALIK ATAU SEDIA DISAMAN – WAN SAIFUL

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, diminta memohon maaf dan segera menarik balik tuduhan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ‘mencuri serta membeli’ ahli UMNO.

Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, berkata tindakan Asyraf yang didakwa menyebut ‘setiap yang menyertai BERSATU dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000’ tidak benar sama sekali.

“Saya dengan tegas menafikan tuduhan liar tanpa bukti ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi dalam satu hantaran menerusi Facebook antara lain mendakwa, banyak aduan dan keresahan diterima dalam kalangan ahli dan pimpinan UMNO akar umbi sejak kebelakangan ini, berhubung tindakan BERSATU ‘mencuri dan membeli’ ahli UMNO.

Beliau turut mendakwa, ada yang mengaku setiap yang menyertai BERSATU dibayar sehingga RM100, manakala setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000.

Wan Saiful menegaskan, perbincangan akan diadakan dengan pihak parti berkait tindakan undang-undang bersesuaian berhubung perkara itu.

Sementara itu, Asyraf Wajdi ketika menjawab kenyataan Wan Saiful itu berkata, BERSATU patut berlapang dada dalam menerima nasihat Pemuda UMNO berhubung isu berkenaan dan memastikan tindakan itu dihentikan segera.

Katanya, tindakan ‘mencuri dan membeli’ ahli hanya mengeruhkan hubungan, malah tidak membantu memperkukuhkan hubungan kerjasama UMNO-BERSATU.

“Sejujurnya saya mengharapkan jawapan sekurang-kurangnya mereka akan siasat dakwaan Pemuda UMNO.

“Justeru, jika Ketua Penerangan BERSATU mahu meneruskan saman, Pemuda UMNO sedia mendedahkan buktinya di mahkamah,” katanya. – BH

(Visited 5 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0