in

MN HARUS DIBUKA KEPADA SEMUA


KUALA LUMPUR 010121 – Muafakat Nasional (MN) bukan milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan di negara ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, berkata muafakat UMNO dan PAS itu perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai pandangan sama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), khususnya dalam memastikan tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain.

“MN perlu dijadikan amalan musyawarah dalam memperkasa agenda Islam, Melayu, Bumiputera khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan negara demi membangunkan negara inklusif, sejahtera dan menjamin keadilan sosial merentasi batas warna kulit mahupun anutan.

“PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini, semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta menghormati, bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini timbul khabar angin bahawa PAS membatalkan kerjasama dengan UMNO serta Piagam MN.

Takiyuddin berkata, mana-mana pihak juga tidak perlu meminta PAS memilih sama ada hendak bersama MN atau tidak kerana PAS antara parti utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah.

Beliau berkata, PAS berpegang teguh dengan Piagam MN yang dimeterai di antara UMNO dan PAS pada September 2019 yang antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
“Dengan mengekalkan komitmen yang mantap dalam Agenda Besar MN, jelas dari sudut pendekatan dan strategi politik, tiada suatu pun halangan yang dikenakan untuk UMNO daripada kekal bersama Barisan Nasional mahupun untuk PAS daripada menyertai mana-mana gabungan atau kerjasama politik,” tegasnya. – BERNAMA

https://www.youtube.com/watch?v=r6vX38l81PE

(Visited 38 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0